Showing posts with label sambal. Show all posts
Showing posts with label sambal. Show all posts

Monday, August 4, 2014

Sambal Tahun

Ini mungkin percubaan kali ketiga atau keempat aku cuba memasak sambal tahun. Sejak berkawan dengan kawan aku si Eda baru aku kenal apa tu sambal tahun. Rasanya memang unik pada selera aku orang utara ni. Yang unik tu lah yang membuat ia lebih istimewa. Sedap. Boleh disimpan lama. Sesuai sangatlah dengan orang yang rajin tak berapa nak rajin macam aku ni.
Sebenarnya lama dah aku masak sambal tahun ni cuma baru ni ada masa nak buat entri kat sini. Aku kurangkan sukatan santan pekatnya sebab aku pun takut nak makan yang terlebih lemak. Cuma sukar siketlah nak dapatkan lengkuas yang muda.
Resepinya bolehlah KLIK KAT SINI.

Wednesday, July 16, 2014

Sambal Pahang aka Sambal hitam

Kat rumah aku selalu ada stok belimbing rebus. Tapi inilah aku baru mula nak belajar buat sambal Pahang atau sabal tumis belimbing hitam. Bagaimana nak rebus belimbing  bolehlah klik kat sini. Kalau nak buat sambal hitam mentah yang ringkas bolehlah klik kat sini.
Kali pertama aku mencuba memasak sambal ini,  rasanya kurang sedap sebab terlebih belimbing. Kali kedua mencuba terlebih pula cili api. Kali ketiga barulah rasanya agak menjadi.
Inilah anggaran kasar bahan2 yang aku gunakan
1/2 cawan belimbing rebus
1/2 cawan cili api
2 cawan ikan bilis
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1/2 cawan kicap manis
gula, tambah sedikit garam jika perlu
minyak untuk menumis

Tumis bawang merah bersama bawang putih yang sudah dihiris. Masukkan bahan2 kisar yang terdiri dari cili api, bawang besar, belimbing rebus dan ikan bilis. Masukkan kicap manis.Tambah sedikit air jika perlu. Masak dengan api perlahan sehingga agak kering.

Tuesday, December 24, 2013

Kimchi yang ku kenal..

Sedapnya rasa kimchi.  Sebelum2 ni tengok aje ibu2 dari Korea sediakan kimchi dari rumah mereka. Tak teringat pula nak mencuba. Sehingga terbitnya skrip dari anak2 yang memuji2 kesedapan kimchi buatan ibu sendiri yang tiada taranya pun belum terfikir juga lagi nak mencubanya. Apa rasanya kimchi.?
Entah beberapa minggu yang lepas baru datangnya idea aku untuk mencubanya. Jeruk maman dah buat, kerabu  dah buat, kali ni nak mencuba kimci pulak.
Inilah rupanya kimchi aku bila pertama kali aku mencubanya.  Sedap? Tentulah sedap. Sebab tu lah aku publishkan kat sini...
Pada aku memakan kimchi adalah suatu tabiat pemakanan kesihatan yang baik. Tiada lambakan minyak dan kolesterol. Mujur juga aku masih tergolong dikalangan  pemakan sayur!
Ini kimchi  yang telah aku perap selama 24 jam. Pada rasa aku lagi sedap kimchi  yang dimakan selepas 3 hingga ke 4 jam diperap.
Mula2 dulu bila nampak rupa kimchi, aku fikir yang rasanya pedas atau kita akan alami rasa perut panas atau tak selesa perut selepas memakannya oleh sebab rupanya yang merah berselaput dengan cili.

Lepas tengok gambar video kat atas ni lah yang boleh datangnya minat aku nak mencuba membuatnya.
Bahan yang aku gunakan ialah kobis, apple, apple pear, sengkuang, daun bawang, bawang putih, gula perang, serbuk cabai dan garam. Untuk bahan perisanya aku gantikan dengan pes udang. Apa lagi, belacanlah! Hu hu.

Lepas dah menikmati kimchi, baru aku terjumpa dengan pengkisahannya melalui suatu tayangan video dari you-tube. Aku letakkan sebahagian gambarnya kat sini untuk memudahkan lagi bercerita..

tempat pembuatan garam

kobis direndam atau pun dibersihkan dalam kolam yang besar!
menggunakan pekerja yang ramai...

adalah pemandangan dari sebuah temple 

Yang last ni gambar proses memeram udang di dalam gua untuk dijadikan bahan perisa kepada kimci. Agaknya serupa dengan membuat cincaluk kot. Lain kali aku nak beli cincaluk bila aku nak buat kimchi.

Saturday, December 7, 2013

Tumis asam air belimbing buluh

Selalu aku dengar orang buat masak asam. Masak asam. Masak asam. Bunyi macam best ajerr... Walau pernah terfikir best tapi aku tak pernah buat masak asam atau tumis asam. Agaknya pasal leceh pada aku nak perah air asam jawa atau nak setting macamana banyaknya kuah untuk buat tumis asam ni.

Datangnya idea nak buat tumis asam ni sebab semalam aku terasa nak sediakan  lauk yang paling mudah, ringkas dan cepat.  Hanya nasi, lauk dan ulam segar. Ada bukti mengatakan menu ringkas membolehkan orang tu hidup cergas dan sihat. Sistem penghadaman tak perlu letih bekerja keras! Hu hu hu...

1. Siang dan bersihkan ikan.
2.  Lumurkan kunyit pada ikan dan goreng tanpa garam.
3. Bila ikan masak, alihkan ikan ke tebing kuali dan tumiskan bawang putih. Bawang putih dah wangi, masukkan pula bawang besar dan cili yang sudah dipotong.
4. Bila bawang dah layu masukkan air belimbing rebus, dah sebati semuanya bolehlah diangkat. Siap.

Benda apa air belimbing rebus tu bolehlah KLIK KAT SINI. Sebelum ni aku dah cuba colek isi ikan rebus dengan air belimbing bercampur cili api. Memang sedap!

Sunday, July 28, 2013

Kolagen rumpai laut paling sedap!

Macamana  cara nak olah supaya rumpai laut sedap dimakan?
Sebelum  ni aku pernah buat post cerita pasal kerabu rumpai laut.Tapi hari ni aku nak cerita kat sini cara yang paling mudah dan sedap untuk menikmati rumpai laut ialah hidangkannya ke dalam sos ikan. Sos ikan? Sos ikan tu ialah budu. Siapa yang minat budu tentu tahu menikmatinya!
Aku pernah cuba makan rumpai laut yang dimasak menjadi  cair serupa agar-agar kemudian  dicampur dengan lain2 perisa. Tapi rasanya tak termakan aku....

Rumpai laut aku ni asalnya berwarna ungu. Dah lama disimpan aku pun dah hampir terlupa akan  kewujudannya. Bercampur pula dengan kuah budu ni, nak jadi ala2 masak kicap la pulak.

Macamana cara nak buatnya. Senang ja.
Rendam rumpai laut kering lebihkurang 6 jam. Cuci bersih hingga hilang baunya. Potong. Campurkannya dalam budu. Gaul lagi bersama bawang hiris dan cili api potong. Perahkan asam limau. Gaul sebati. Siap.

Saturday, July 6, 2013

Sambal buah binjal

Pada sesiapa yang belum pernah merasai keenakan sambal belacan berasamkan buah binjai, tak payah cerita lah... Pagi tadi aku terserempak dengan buah ni dijial kat pasar. Penjual tu cakap buah ni baru ja sampai, kemarin tak dak lagi. Memang buahnya nampak baru dan segar. Belum rasa masam. Kira manis sebagai buah binjailah. Hehe. Aku memang jarang bertandang ke pekan sari atau nat. Mungkin di sana ia banyak dijual orang..

Sedang aku memilih2 tu ada seorang kakak bersama suaminya menunjukkan minatnya yang amat sangat kat buah ni. Katanya anak dia tengah mengidamkan buah ini. Bagi pihak dia sendiri tak tau satu apa pun katanya. Anak dia tu sebab pernah makan  buah ni  dijamu orang lain. Aku minat sangat lah sebab nak dapatkan buah ni cuma ada kat dalam hutan rimba sahaja. Aku pernah sebut mengenai buah binjai kat entri aku DI SINI.

Tak susah nak buat sambalnya. Hanya tumbuk cili api bersama sedikit garam dan sedikit belacan bakar. Kalau suka boleh campurkan dengan cili besar. Bila ciliapi semua dah lumat dengan biji2nya sekali, gaulkan bersama dengan isi buah binjal ini. Lumatkan sedikit supaya semuanya bergaul rata. Bolehlah dihidangkan dan makan bersama dengan nasi panas. Memang biul aku makan nasi pada tengahari ini. Ada pulak gulai masam tempoyak dan ikan pekasam. Sambal ni aku cuba makan dengan berulamkan petai mentah bersama2 kulitnya sekali. Mudah2an kelat kulit petai ni dapat mengelakkan aku dari sakit perut dipagi  hari esok.  Perut aku selalunya tak tahan dengan kepedasan sambal tumbuk cabai melaka.

Friday, December 7, 2012

Air belimbing dari belimbing rebus

Assalamualaikum
Aku biasa mendengar cerita sedapnya air dari air belimbing rebus dipatah2kan cili api dan di makan cicah bersama ikan tawar. Ikan tawar biasanya ialah  ikan sungai yang dibakar menggunakan bara api. Beberapa hari yang lepas aku telah mencubanya. Woww! Memang sedap dan menyelerakan. Tak ada pun ikan tawar bakar. Aku sulamkannya sahaja dengan ikan goreng yang digoreng sekejap dan tidaklah terlalu garing masaknya. Hish! Bercerita ni pun dah terliur rasanya.
Cerita aku mengenai sambal hitam belimbing ada kat sini.

Dah nak habis makan, baru aku teringat nak snap gambar. Dah nak kering air belimbing bercampur dengan cili api ni. Aku ulamkan dengan terung belanda. Kalau kat kampung arwah mak mertua aku tentunya dah berulamkan buah petai.
3 bulan lepas aku ke kampung di pendalaman Kuala Lipis ni. Yang tinggal kat rumah pusaka tu hanyalah kakak biras aku dan anak2nya yang dah bekerja. Anak2nya pun balik ke rumah bila hari dah jauh2 malam. Kakak biras aku yang sorang lagi  berjiran dengannya pun sama. Anak dia pun bekerja di luar daerah. Lama dah aku dengar depa ni mengeluh pasal kampung halaman depa yang dah tak ber orang. Tapi la ni keadaan dah makin kronik. Banyak rumah pusaka yang tinggal terbiar dan rosak 'makan diri.'

Ada setangkai petai dengan beberapa keping  papan buah petai yang segar di depan kami semasa kami sedang bersembang tu. Kakak biras aku tu bercerita yang dia dapatkan buah petai tu dengan pertolongan kera. Kera? Sambil gelak2 dia bercerita bila dia nampak kera sedang memakan buah petai, dia kejutkan kera tu dengan menyergahnya. Bila terkejut, kera pun melarikan diri. Sambil berlari kera itu tidak  membawa bersamanya setangkai petai yang sedang dimakannya lalu ia pun jatuhlah ke tanah. Geniuslah akak  aku yang sorang ni. Tanam pokok apa pun sudah tidak menjadi, semuanya kena beli, kata dia. Kera dan tupai banyak. Buka pintu rumah, babi hutan menjelma di depan mata!

 
Ini gambar permulaan aku belajar memasak belimbing rebus. Bunyinya memanglah leceh sebab masa memasaknya perlu 4 ke 5 jam. Tapi sebenarnya dengan menggunakan api yang perlahan, tak adalah susah sangat. Pasang aja api dengan perlahan dan tingalkannya bolehlah buat lain2 aktiviti dengan menjenguknya sekali sekala. Aku letak garam kat dalam periuk atas ni  banyak sangat. Kata kakak biras aku tu garam biarlah terasa masinnya, buahnya jadi elok, 'kejun' jer kata dia. Aku tak tanya dia la apa maksud istilah kejun tu. Agaknya macam kejur kut. Terbujur  macam objek yang dah kaku. Pernah aku masak belimbing ni dan kurangkan garamnya. Belimbing yang kurang garam aku tu jadi hancur dan lembik tidak berbentuk buah belimbing lagi.

Wednesday, August 22, 2012

Air asam buah terung bulu

Assalamualaikum
Lama sudah aku mencari buah terung ini. Dulu2 ianya mudah kelihatan ia tumbuh disekitar laman dan bahagian dapur atau belakang rumah di kawasan kampung. Mak sedara aku pun cakap pokok dia ni pun bukan ditanam. Ia tumbuh selepas benihnya tercampak dengan tak sengaja keluar rumah selepas makan air asam buah terung bulu.

Datang beraya ke rumahnya semalam aku nampak buah ini sedang elok masak kembang kekuningan di pokoknya. Aku sendiri pergi petik. Mak sedara aku tu tolong petik buah namnam sebab aku tak berapa pandai nak pilih mana satu rupaya buah namnam yang dah masak.

Sesampai saja aku kat rumahnya dengan ramah dan tak sabarnya depa dua orang suami isteri tu bercerita sambil menunjukkan pokok anggurnya yang dah banyak kali berbuah tu. Sukanya dia bercerita sebab benih anggur tu aku yang bagi kat dia. Siap digantungnya lagi dua gugus buah angur plastik yang sedang masak meranum kat dalam rumpun pokok anggurnya tu. Tu bukan apa, habuan nak bagi gempaq kat orang yang tak biasa dengan tanaman anggur lah tu kut!  Ha ha.

Buah terung asam yang aku kutip bawa balik. Aku pun dah lupa apa rencah nak buat air asam tu. Yang aku ingat abang aku cakap si tuan punya pokok terung bulu yang dia pi ambil buahnya dulu tu cakap, bila nak buang bulu pada buah terung ni, gunalah pulur sabut untuk menyentalnya keluar.

Emm sedap rasanya. Yang ini betul2 special sebab buahnya cukup masak. Jadi rasanya pun masam2 manis. Yang aku makan sebelum ni tak ada terasa manisnya. Cuma kalaulah aku dapat ikan puyu bakar ke dalam perencahnya lagi legend lah rasanya!!. 

Buah terung asam mengandungi air, karbohidrat, protein, lemak, serabut, mineral dan vitamin. Di India ia dimasak kari. Di Thailand ia dijadikan ramuan sos nam prek yang sangat penting dalam masakan Thai. Dalam perubatan Melayu ia dapat mengubati masalah cacing kerawit. Air rebusan akarnya diminum bagi merawat luka, lebam, gatal-gatal dan mengubati penyakit sifilis. 

Wednesday, February 15, 2012

Bebuas rebus, telur rebus dan air asam

Bahan2
Daun bebuas rebus, telur rebus siap berkupas dan air asam (cabai melaka. belacan bakar, asam jawa dan sedikit garam dipicit bersama)
Tak kah air asam  berhias kat atas tu nampak menyelerakan..?

by google
Daun bebuas berkhasiat untuk membuang angin dalam badan dan masalah kecacingan.

Selepas direbus selalunya ia keluarkan satu warna putih yang nampak keruh.

Sejatkan keluar airnya untuk dicicah bersama air asam dan telur rebus. Anak aku yang perempuan tu suka makan ulam ni secara mentah. Rasa ulam yang dimakan mentah dan direbus jauh bezanya.

Sunday, October 9, 2011

Sambal belacan asam papan

Bahan2
5 biji buah asam muda
5 biji cili api
garam, belacan,
1 biji lada besar
1 ekor ikan kembung rebus

Buah asam muda hendaklah dikikis kulit luarnya dan biji asam dikeluarkan untuk menghindarkan rasa pahit.
Tumbuk garam, belacan, cili api dan lada besar agak sedikit hancur. Masukkan buah asam muda. Tumbuk lagi jangan sampai terlalu hancur. Akhir sekali gaulkan dengan isi ikan rebus. Siap untuk dihidangkan.

Aku sebenarnya dah lupa pasal sambal campur buah asam muda ni. Abang aku mai ke rumah aku bawakan buah asam muda. Dia nak aku tumbuk sambal macam yang pernah arwah tok kita dulu buat, katanya. Barulah aku ni ingat balik. Tapi dulu2 ni, sebenarnya sambal ni dicampurkan dengan isi ikan puyu yang sudah dibakar. Sedap ni, pada selera kampung aku ni lah... hehe

Ini buah asam masak. Aku beli asam ni sebab ingatkan mulanya ia adalah produk orang kampong. Tapi rupanya penjual tu cakap asam ni mai dari Thailand.

Teringat aku pada petikan yang menyebut dalam pelayaran Munsyi Abdullah ke negeri2 sebelah pantai barat di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu, yang banyak kelihatan ialah pokok2 kelapa, mangga dan asam jawa. Ini tulisan semula orang lain dari petikan beliaulah.

Banyak rupanya khasiat asam jawa seperti dalam perawatan selsema dan batuk gatal keronkong. Lagi khasiatnya boleh klik kat sini.

Monday, September 5, 2011

Sambal tumis tempoyak

Bahan2
1/2 cawan ikan bilis
1/4 cawan cili api
2 sudu tempoyak
1 inci kunyit hidup
1 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 labu bawang besar
garam dan minyak untuk menggoreng
~cili api yang biasa digunakan ialah cabai melaka kampung atau dipanggil cabai burung.
~ikan bilis -gred yang baik, sebab manisnya terletak pada rasa bilis dan gunakan sedikit sahaja garam.

Tumbuk cili api dengan biji2nya sekali hingga lumat. Tambah kunyit hidup dan tumbuk lagi.
Bancuhkan tempoyak dengan 1 cawan air. Tambahkan cili api tumbuk.
Hiriskan bawang besar, bawang putih dan bawang merah. (Bawang dihiris memanjang, bukannya melintang.)
Panaskan minyak, tumis bawang biar layu. Masukkan bancuhan cili api tumbuk bersama tempoyak tadi. Adunan ini berwarna keruh. Tambah garam. Masak hingga naik minyak dan bertukar warna seperti di atas.
~Boleh tambah isi petai atau terung pipit jika suka.

Aku ni dah lama sangat tak masak sambal tempoyak. Aku kurang minat pada masakan tumis yang ada minyak. Tapi dek kerana ramai sedara dari Pahang yang datang rumah aku pada raya tahun ni, aku buatlah masakan ini sebab nak jamu depa tu semua.

Takdir tuhan. Ipar, anak sedara dan cucu sedara punya sebab yang tak dapat dielakkan dari menghadirkan diri untuk beraya kat Kedah. Sampai hari ini pun masih ada yang belum dapat balik ke Pahang.

Sukatan bahan2 yang aku tulis tu bukanlah yang sebenarnya aku buat. Dah enam hari pun usia sambal aku tu. Baru hari ni nak buat cerita pasal sambal tempoyak. Hehe.

Lepas masak, aku pun rasalah sambal aku ni. MasayaAllah pedasnya toksah duk ceritalah... Aku pesan kat depa semua awal2 lagi aku warning, jangan duk ceduk beriya sangat sebab rasanya yang amat pedas tu.
Dulu aku selalu tengok sambal tumis tempoyak adalah menu utama kat rumah arwah mak mertua aku. Tiap kali makan nasi wajib ada sambal tempoyak. Ada anak2 sedara yang dah boleh makan nasi dengan hanya sambal tempoyak sahaja kalau tak ada lauk lain.
Pada aku bila makan saja sambal tempoyak ni, dia ada satu rasa yang tak tau nak cerita. Rasa macam makan benda reput pun ada. Hehe. Rasa kat lidah, tapi otak dah terasa macam dah duk kat dapur arwah mak mertua aku. Aneh juga rasa tempoyak ni. Dan memang bengang pun kalau aku cerita pasal tempoyak kat kawan2 aku. Tak dak sapa sorang pun yang akan paham. Orang Kedah bukan pemakan tempoyak!

Tapi tak apalah. Anak sedara yang sorang tu asyik cakap yang sambal aku tu pedas. Tapi makin pedas, makin dia duk ulang makan lagi. Last2 aku tengok dia duduk tersandar. Dia cakap sambal Mok Tam ni memang tiptop! Hehe.

Macamana cara nak buat tempoyak?
Hehe. Aku pun tak pandai sangat. Aku pisah2kan isi dengan biji durian. Durian edisi kahwin orang tak buat tempoyak yak? Gunakan isi buah durian kampung. Simpan seeloknya dalam bekas kaca. Jangan terus masukkan dalam peti ais. Biar gas meruap keluar dulu, esoknya baru simpan dalam peti ais. Ada orang kata gaulkan dulu dengan sedikit garam. Tapi aku tak pernah campur garam pun sebab tak tau nak letakkannya sebanyak mana.

Thursday, August 18, 2011

Belacan Alor ibus

Ini gambar belacan Alor Ibus. Nama lain bagi belacan mungkin pes udang agaknya. Huhu. Belacan ialah penambah perisa utama pada masakan orang2 sebelah utara. Aku selalu gunakan belacan jenama ini pada masa sekarang walaupun ada banyak lagi jenama lain. Aku tak jual belacan ya? Gambar belacan ni aku dapat dari blog orang lain.
Siapa kata belacan itu tak penting? Hehe.
Sila baca skrip filem awal arahan seniman Tan Sri P. Ramle di Singapura
"..... kenapa kau masak sayur asam tak taruk belacan..?"
"..... jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen, tapi jual belacan tak ada lesen.."
".... Eh Mastura, ente tak ada tanam itu belacyan punya pokok ka..?"


Ini orang utara panggil 'ayaq asam'.


Bahan asasnya ialah cili api, asam jawa, garam dan belacan. Tak ada bawang atau tomato. Ini traditional recipe. Hehe. Aku tengok Tuan Guru terkenal kat kampong aku dulu makan nasi bersama ulam, ikan sungai goreng, (ada belut goreng lagi..) bersama ayaq asam. Walaupun dah tua, dia sihat dan cergas.


Ini terung pipit rebus. Ulam feveret aku. Bolehlah rebus kacang bendi, kangkung, betik dan lain2 lagi untuk dimakan bersama dengan air asam. :)


Ini daun bebuas. Aku ambik dari google. Yang kat rumah aku belum ada banyak daun lagi sebab baru kena cantas pokoknya. Khasiatnya ialah untuk buang angin dalam badan dan masalah kecacingan. Elok untuk orang perempuan yang pernah bersalin. Sebab orang perempuan yang pernah bersalin selalunya ada mengumpulkan angin dalam badannya. Hehe.

Orang selalu cerita kat aku cara2 nak makan pucuk bebuas ini. Rebus daun bebuas ini dan cicah dengan air asam. Dalam air asam tersebut, masukkan telur ayam yang sudah direbus. Pecahkan telur ayam yang sudah direbus ke dalam air asam dan cicah dengan pucuk bebuas rebus. Pernah aku makan dengan cara ini. Memang sedap dan menyelerakan.

Friday, August 12, 2011

Sambal Hitam

Bahan2
Belimbing hitam rebus,
ikan bilis, cili api.

Tumbuk cili api hingga lumat dengan biji2nya sekali. Campurkan dengan ikan bilis yang sudah dicelur dengan air panas. Tumbuk lagi jangan sampai hancur. Tambah belimbing rebus, gaul biar sebati. Siap untuk dihidangkan.

Hari ini dah 12 hari seluruh umat Islam menunaikan ibadah berpuasa di bulan yang mulia dan penuh barakah ini.
Ini juga upload gambar menu pertama aku di bulan puasa ini. Dah tak tau nak masak apa lagi. Tak tahu nak terliur pada masakan apa lagi. Sejak 2-3 hari ini, sambai ini ja yang boleh bertahan dalam setiap menu berbuka dan bersahur. Bila habis, sambung tumbuk dan buat lagi. Ringkas, mudah dan senang. Sesuai dengan orang yang malas seperti aku ni. Hehe.
Cara-cara nak buat belimbing berebus ini, bolehlah klik kat sini. Kawan aku si Eda tu ada buat post tentang cara2 bagaimana nak memasak buah belimbing sehingga ia boleh bertukar menjadi kaler hitam. :)

Sunday, May 29, 2011

Sambal buah macang


Ini hanya sambal belacan biasa. Taruk cili api, cili besar, garam, belacan (kalau patut bakar, bakar dulu siket) dan last sekali masukkan buah bacang yang dihiris. Tak perlu ditumbuk hancur semua. Antara sambal belacan nombor wahid yang aku minat.

Cuma aku tak berapa nak faham pada ungkapan 'Kalau tak dapat durian, bachang pun jadilah'

Thursday, April 7, 2011

Sambal petai belalang campur lala





Teringinnya aku nak makan sambal petai belalang campur lala. Aku tak tau kalau orang bukan utara, depa sebut lala tu apa. Ni sejenis karangan laut yang berkulit nipis tu.

Ni pasai kawan aku la dok cerita dia pernah makan sambal ni satu waktu dulu.

Huhuhu. Mana semak la aku nak pi kerabat cari buah petai belalang la la ni. Lala pun bukannya dijual setiap hari kat pasar besar Alor setar tu walaupun namanya pasar besar.

Jadi aku ni buat post angan2 saja la. Bercita2 nak makan sambal petai lala.

Thursday, March 24, 2011

Sambal belacan buah kuinin

Hari ini dapat buah kuinin dari rakan sepejabat. Aku minat sangat dengan buah kuinin. Selalu tergoda pada baunya kot. Kalau ada dijual orang dekat pekan sehari, pasar malam atau pasaraya, biasanya aku mesti beli. Selagi tak beli, "langkah tak pi.." kata orang Kedah. Dah beli, baru boleh melangkah pergi. Hehe.

Sambal belacan aku buat ni dah jadi macam bubur kuinin pulak. Buah ni masak ranum dan aku tak ada lada besar. Seeloknya untuk membuat sambal, gunakan buah yang sedang mengkal, adalah rasa masam manisnya. Tapi yang ini aku makan begitu saja, tak makan dengan nasi pun.