Showing posts with label makanan masin atau pedas. Show all posts
Showing posts with label makanan masin atau pedas. Show all posts

Saturday, April 25, 2020

Jeruk pucuk mengkudu


Bahan
jeruk pucuk daun mengkudu
bawang merah hiris
cili potong
ikan rebus/bakar
garam

Basuh jeruk mengkudu untuk keluarkan lebihan nasi.
Tambahkan cili potong, bawang merah hiris dan isi ikan.
Tambah sedikit air ikut keperluan.
Masukkan garam dan gaul sebati.


Cara buat jeruk mengkudu
Bahan
Pucuk mengkudu
Nasi yang disejukkan
Air
Garam

Bersihkan pucuk mengkudu.
jemur sekejap pada cahaya matahari supaya daunnya layu.
blender nasi.
masukkan pucuk mengkudu ke dalam bekas.
tambahkan air, nasi dan garam.
pastikan air menutupi seluruh daun mengkudu.
tutup dan simpan selama seminggu.
lepas seminggu jeruk sudah boleh dimakan.
Simpan lebihan jeruk dalam peti ais.

Sedap. Pucuk mengkudu tidak  pahit lagi dan rasanya bertukar menjadi masam seakan jeruk maman.


Saturday, September 28, 2019

Keropok lekor ikan selayang

Bahan
Ikan Selayang
Tepung ubi/kanji
Garam/serbuk perisa

Cara
1. Siang dan bersihkan ikan selayang/kembung.
2. Sambil pegang kepala ikan, tarik ekor ikan untuk meregangkan tulang belakangnya.
3. Siat keluar kulit ikan mulai dari kepala ikan hingga habis ke bahagian ekornya.
4. Dengan menggunakan pisau, siat keluar isi ikan dari tulang ikan.
5. Tumbuk lumat isi ikan.
6. Campurkan isi ikan bersama tepung ubi, garam dan sedikit serbuk perisa.

7. Nisbah campuran ialah satu bahagian tepung dengan tiga bahagian isi ikan.


8. Bentukkan adunan mengikut kesesuaian anda.

9. Celur seperti biasa, bila masak ia timbul ke permukaan.


10. Sapu minyak jika suka, keropok sudah siap untuk digoreng.

##: Gantikan tepong ubi dengan tepong sagu dan tambahkan serbuk baking powder.

Saturday, August 17, 2019

Lemak pedas daun maman ikan tenggiri

Bahan
Ikan tenggiri
Daun maman segar
Santan
Cili api
Kunyit hidup
Asam keping
Garam/serbuk perasa

            
bersihkan daun maman.
rebus daun maman bersama asam keping dan sedikit garam.
tapis daun dan rasa sedikit daun untuk memastikan tahap pahit daun yang sudah direbus.
Jika masih pahit rebus lagi dan perah keluar air pahitnya.



masak santan bersama cili dan kunyit hidup.
bila santan mendidih dan masak elok kuahnya masukkan daun maman yang sudah direbus tadi.
akhir sekali masukkan ikan tenggiri kerana isi ikan tak perlu dimasak lama sangat atas api dapur.
masukkan garam. jika perlu tambah asam keping dan sedikit ajinomoto. sesuaikan rasanya.



Wednesday, July 10, 2019

Mee kacang merah/kidney beans

bahan
2 camca minyak zaiton
1 ulas bawang besar
6 camca paprika
2 1/2 cawan kicap
8 cawan air
25 gm onion soup mix
1 sudu teh garam
1 camca ground black pepper
450 gm sausage/daging cincang
2 kg kidney beans
3 biji kentang
226 gm spageti

  1. Tumis bawang merah
  2. Masukkan black pepper, bawang besar, daging/sausage, masuk kentang.
  3. Tambah air, kicap, kacang merah yang sudah dikisar

Monday, August 4, 2014

Labu masak kicap

Ini labu kicap bukanlah masakan ciptaan aku sendiri. Ini adalah menu lama salah satu hidangan orang kampung aku masa aku kecik2 dulu. Lani jarang dah orang masak labu macam ni kecuali labu masak lemak.
Cerita labu kicap ni dah pernah aku postk KAT SINI satu masa dulu. Rasanya sedaplah bagi aku. Pada selera akulah....

Monday, February 3, 2014

Kenapa cucur menjadi kembung..?

Berbunyi tajuk sangatlah bombastik!
Sebenarnya aku pun taktau macamana orang buat cucur yang lembut dan sedap. Buat jemput2 pisang pun aku fail... 

Campur tolak darab dan bahagi akhirnya pagi tadi aku terfikir nak mencuba satu eksperimen. Gaul masukkan sedikit serbuk Eno kedalam adunan tepung untuk dibuat cucur udang. Lepas digoreng, cucur aku tidak lagi bantat macam selalu. Hu hu. Ia lembut, penyek dan menganjal seperti belon bila ditekan dengan jari. Lepas ni bolehlah aku buat lagi cucur goreng perisa sardin, bilis, jagung dan udang macam yang dijual kat suatu gerai yang sedap tu..

Thursday, November 14, 2013

Miang Kham @ Kaduk sirih pinang

Minggu lepas aku cuba lagi buat kaduk sirih pinang. Sebelum ini aku pernah buat post pasal miang kham sejenis kudapan dari negara Thai KAT SINI.

Ada dua cara yang aku cuba.
1. ~Cili hijau, bawang, halia, serai, kicap, gula nipah dan belacan diblender ~ jadikan kuah.
    ~Udang kering dan kacang tanah (digoreng tanpa minyak), kelapa potong dimasukkan ke dalam kelonsong daun kaduk.

2. ~Kacang tanah, udang kering, limau nipis, kelapa potong, halia, bawang dan cili api ~ masukkan dalam kelonsong daun kaduk
    ~ Siramkan sos gula merah ke atas bahan2 dalam kelonsong daun kaduk.
ehsan google
Aku pinjam gambar kaduk sirih pinang ni dari En Google. Hari yang aku santap mende ni aku tak ada mood nak bergambar bagai. Sedap ke? Ouhh mau ke tak sedap??. Tak dapat nak aku bayangkan macamanalah rasanya. Ada rasa lemak, pedas, pedar, masam, manis...berbagai rasa.. pendek kata tak tahulah nak cakap... waktu tengah mengunyah tu macam rasa nak bercakap Siam pun ada...

Tuesday, October 15, 2013

Pais Ikan Curi


500gm ikan bunga air
sesenduk kelapa muda parut
3 batang serai dihiris nipis
sehelai daun kunyit dihiris nipis
kunyit hidup dan garam ditumbuk

1. Siang dan bersihkan ikan  bunga air. Buang semua tulangnya.
2. Tumbuk sedikit garam bersama kunyit hidup. Masukkan kelapa parut dan tumbuk lagi hingga sebati.
3. Gaulkan bahan tumbuk bersama serai hiris dan daun kunyit hiris.
4. Akhir sekali gaul semua bahan tumbuk bersama isi ikan yang sudah dibersihkan tadi.
5. Balut isi ikan gunakan  daun pisang dan bakar di atas api hingga masak.

Kat tempat aku ikan ni orang panggil ikan  bunga air. Rupanya seakan ikan bilis yang bersaiz besar. Selalunya ia dibuat goreng bersalut tepung dan cicah dengan sos.
Resepi ini aku tak ubah suai langsung. Aku buatnya betul2 mengikut seperti yang aku dapat dari internet.
Macam menarik saja bahan2 yang digunakan untuk buat pais ikan ini.
Tapi yang last ni betul2 ada ubahsuai. Aku tepek saja ikan2 ni ke dalam pemanggang bertutup ini. Kalau diikutkan pada gambar asal pais ini di bakar menggunakan arang dan ianya dibungkus kecil2 serupa dengan memasak pulut panggang!
Tapi cara aku bakar ni pun dah sangat2 ok. Sedap rasa pais ikan ni. Cuma pada sesiapa yang nak mencuba resepi ni hati2 satu hal ya? Gunakan sedikit sahaja garamnya. Isi ikan ni dah cukup manis.!

Kenapa namanya ikan curi? Entah. Memang namanya macam tu kot. Bila google imej, aku  terjumpa dengan gambar curi ikan. Kucing curi ikan!

Monday, May 6, 2013

Mee bandung yang cepat dimasak dan sedap dimakan

Ini hobi baru aku.  Bila perut terasa lapar, malas nak makan nasi, makan aje lah mee bandung ni.
Sapa nak cuba bolehlah dapatkan uncang pes adabi ni. Ada resepinya tertulis kat bahagian belakangnya. Satu pek gunakan 2 cawan air untuk merebus kuahnya. Tambahkan sebiji telur ayam. Kalau suka boleh tambah sawi dan  daging ayam. Perahkan asam limau. Tambah cili api potong.

Jadi kalau anda ada rasa malas yang sedang2 macam aku ni tapi terasa nak makan mee bandung, bolehlah cuba dengan pek ini. Cuma leceh siket aku tak guna mee kuning sebab nak rebus sphageti ni ambik masa lebih siket lah ....  

Thursday, April 4, 2013

Mi kacang merah

Ini kesan dari menonton filem Korea. Kadang2 ada menyebut betapa sedapnya mee kacang merah. Tapi yang sebenarnya aku tak ingat betul samada dalam filem Korea, Cina atau Jepun yang dah aku tonton. Bukan bermakna aku sanjung filem luar tapi dah banyak kali cuba aku pupuk dan bajakan, sayangnya minat aku belum jatuh lagi kat kebanyakan wayang tempatan. Bukan selalu, hanya melayan iseng masa. hehe   

Mmm... sedap mee kacang merah yang cuba aku buat pada pertamakali. Cuma ada sedikit rasa macam aku dah terlajak masukkan ketchup ke dalamnya. Ketchup? Emm... sos cili tu kot.
Ini dia link Spicy Red Bean Soup yang aku gunakan sebagai panduan. Jangan tiru bulat2  dah lah! Ha Ha...

Wednesday, March 13, 2013

Homemade kentang wedges

                                                     Aku cuba buat kentang wedges.

               Resepinya aku dapat DARI SINI. My Resepi. Ringkas dan mudah. Itulah yang di cari..

Yang ni percubaan aku kali pertama buat kentang wedges. Guna tepung goreng ayam kentucky. Sedap. Cuma bancuhan tepung ni terlebih pekat, yang aku cairkan adunan tepungnya, cantik siketlah rupanya dari yang ini. Tapi yang tu tak sempat nak ambik gambarnya.

Ini adalah kentang pilihan aku. Aku suka yang saiznya kecik2 macam ni. Sekali tu aku terlajak rebus kentang macam ni hingga ia menjadi empuk. Dah empuk tak jadilah aku nak buat kentang wedges. Takut hancur. Jadi aku makan macam tu saja. Manis rasanya macam rasa makan ubi keledek rebus.   

Jadi jika ada sesiapa yang berminat nak cuba buat kentang wedges bolehlah mulakan. Dulu ada sorang rakan sekerja aku cakap, jangan makan nasi. Makan kentang kurang gula dan kanji berbanding nasi. Dia tambah lagi yang jadi masalah besarnya ialah bila kita makan nasi kita akan makan bertambah2 sebab bersama nasi ada sambal belacan, ikan kering goreng, gulai, rendang dan lain2 lagi yang enak2 belaka.

Tapi apa yang aku nampak, cuma sorang saja pegawai tinggi perempuan yang tahan daulat makan kentang tanpa nasi. Dia kata mudah saja nak buat kentang putar. Kata dia masukkan planta, susu segar, serbuk lada hitam dan sedikit garam ke dalam kentang lenyek. Aku? Belum mampu lagi nak amalkan petua memakan kentang putar sahaja walaupun aku tengok cik puan tersebut bodynya ramping bergetah sokmo.. hu hu hu.   

Saturday, February 2, 2013

Ubikayu rebus cicah kelapa dan lotus stem


Assalamualaikum
Pagi semalam aku pergi ke pasar besar dengan tujuan semata2 nak dapatkan ubi kayu. Kalau ada akar teratai, aku nak juga cuba memasaknya sebab belum pernah makan sebelum ini.

Dah puas mencari, tak ada pulak akar teratai dijual orang. Kalau tak terasa nak beli, aku perasan banyak pula ianya dijual orang. Aku nampak dua gerai sahaja yang menjualnya. Yang satu gerai tu kontot2 dan kering ada dua tiga potong sahaja.

Dah dibawa balik akar teratai ke rumah, semasa memotongnya aku tak yakin dengan pesan dari nyonya yang menjual sayur ini. Kata dia kalau nak digoreng tak perlulah direbus dahulu, ia akan lembik sebab ia mengandungi banyak kanji serupa kentang. 

Inilah akibatnya bila digoreng selepas direbus dahulu. Ia jadi lembik terkelepek. Semasa masih mentah aku rasa sayur ini keras macam, macam apa ya, batang pisang? batang pisang aku tak pernah rasa, batang keladi? Batang keladi sapa nak berani rasa. Kot2 gatal cek oi...

Sudah yang digoreng tak ada apa rasa, aku pun mencubalah resepi ini. Lotus Stem Fry. Tapi aku ubahsuai sedikit dari resepinya yang asal. Cuma aku gorengkan sedikit cili kering, ketumbar biji, jintan manis, kunyit dan jintan putih. Rempah2 ini aku tumbuk menjadi halus. Tambahkan ikan bilis goreng. Semasa memasaknya anak aku cakap baunya semerbak mewangi penuh satu rumah rasa nak makan macam sedap sangat.
Tapi pada aku masih tak menjadi lagi masakan akar teratai aku ni.
Aku gorengkan ubi kayu rebus pula. Kata kawan aku lagi sedap ubi kayu rebus digoreng daripada menggoreng ubi kayu mentah begitu sahaja. Betul. Memang sedap rasanya ubi kayu rebus yang digoreng!

Akhirnya aku tambahkan air dan masukkan udang kedalam masakan teratai goreng aku tu. Masak semula sehingga ianya mendidih. Emmm. Sedap. Selulosa dari stem ni ada rasa rangup bila digigit. Manis ja rasanya. Betullah. Akar teratai ini paling sesuai dimasak sup. Macam yang selalu dimakan oleh kaum cina. Dikatakan teratai ini sesuai dimakan untuk menurunkan suhu panas badan. 
Last sekali baru aku nak ceritakan pasal ubi kayu rebus cicah dengan kelapa dan gula merah. Dengan ubi kayu rebus ni aku taklah akrab sangat. Kecik2 dulu aku tak berminat sangat nak memakannya. Terliur pasal ada yang menayangnya kat facebook baru2 ni. Lepas makan, aku asyik ulang makannya lagi. Dapat pula kelapa parut yang agak muda dari pasar. Emmm enak sangat-sangat. Cuma aku terlupa nak beli kopi untuk buatkan kopi pekat. Buruk mengidam jugak aku ni. Hu hu.

Thursday, December 20, 2012

Demam mee bandung belum berakhir hu hu

Pelik. Ajaib.Tak ada aku buat banyak posting pasal memasak mee sebelum ini. Tapi bila betul2 datang selera nak memakan mee yang dah lama aku idam2kan sebelum ini, maka  aku pun mencuba lagi resepi ini untuk kedua kalinya. Tak apalah. Kalau lain kali aku nak memasaknya semula, bolehlah aku rujuk balik kat sini.

Bahan2
mee kuning
kicap, sos cili (cap jagung) boleh tambah sos tiram jika suka
cili kering (blender atau ditumbuk lumat)
sotong
udang (separuh untuk dimesin separuh lagi  dibuang kulit dan masukkan dlm kuah)
kentang (rebus, blender masukkan  dlm kuah)
tauhu (blender masukkan dlm kuah)
tomato (potong masukkan dlm kuah-menambah sedikit rasa masam)
kacang tanah goreng ditumbuk (tambah sedikit rasa lemak)
sawi,
limau nipis (untuk diperah ke dalam mee)
daun sup, cili besar, bawang goreng, gula, garam, perisa.
Telur ayam (untuk dipecah masuk ke dalam kuah yang sedang menggelegak)

Resepi aku kali ni mudah siket. Ofkos la. Pasaraya kecik kat rumah aku tu tak ada jual daging segar. Aku gunakan sotong dan udang sahaja.
Tumiskan bawang. Masukkan cili kisar. Biar hingga masak.Tambah kicap dan sos cili. Masukkan udang, kentang dan tauhu yang diblender. Masukkan udang, sotong dan kacang tanah . Masukkan tomato. Bila mendidih, masukkan sawi.Tambah garam, sedikit gula dan perisa. Sesuaikan rasanya.
Untuk menghidang
Celur mee kuning. Basuh dan toskan dengan air sejuk.
Masukkan mee ke dalam pinggan. Panaskan kuah hingga menggelegak, masukkan sebiji telur ayam. Tutup sekejap supaya telur ayam cepat masak. Curahkan kuah yang panas ke atas mee. Hiaskan dengan  daun sup/daun bawang, cili besar potong dan bawang goreng. Perah asam limau jika suka.

Aku panaskan agak2 sepinggan kuah mee ini ke dalam kuali supaya telur ayam ini tidak pecah bertebar  merata2.
Anak pempuan aku komen kalau mak letak banyak lagi ayam dan daging, tentu rasanya lebih sedap. Dah sah dah selera dia tak sama dengan aku. Anak aku ni la ni tengah duk minat dengan selera mee kungfunya. Aku pun angkat ibujari  dengan rasa mee kung fu. Sedap. Pada aku lepas makan mee kungfu, (order kat restoran) datanglah rasa 'sindrom restoran cina' (betui kot istilah aku ni). Keinginan untuk meminum lebih banyak air. Dikatakan kandungan monosodium glumate yang tinggi itulah yang menyebabkan kita rasa dahaga. Meminum banyak air itu adalah untuk menutralkan kembali kandungan garam yang tiggi di dalam tubuh.

Saturday, December 8, 2012

Mee bandum yang nostalgia

Assalamualaikum

Aku selalu terindukan pada rasa mee bandung yang selalu aku makan masa aku kecik2 kat tempat kelahiran di kampung aku dulu. Waktu tu kalau tak silap harga mee bandung sepinggan dalam lingkungan seringgit dua kupang atau seringgit enam kupang sahaja. Aku tak berapa ingat dengan pasti. Cuma rasa sedapnya tak dapat lagi aku nikmati sehingga hari ini. Namanya mee bandung barangkali, tapi oleh sebutan orang2 kampung aku bunyinya seakan-akan mee bandum. Hilang 'g' nya.

Pencarian aku untuk  rasa mee ini berakhir kat blog periuk tanah. Ini kerana seingat aku, mee yang aku rasa sedap sangat masa kecik2 dulu tu antaranya mengandungi sayur sawi, tomato, daun sup dan daun bawang hiris, bawang goreng, tauhu, sedikit daging, sotong dan yang tak boleh lupa ialah sebiji telur ayam yang dipecahkan masuk ke dalam kuahnya yang sedang panas2. Kuahnya tidak pekat tapi mengandungi rasa sedikit pedas, manis dan masam perahan limau nipis. Tiada campuran sayur lain yang cacamarba. Tak ada daging ayam pada rasa mee bandum yang asli. Zaman dulu tu rasanya belum ada lagi orang buat projek ternak ayam daging macam sekarang ni. Ayam yang dibela kat kawasan kampung keliling rumah tu  akan hanya disembelih pada waktu2 tertentu yang istimewa sahaja.

Terima kasih pada Kak An yang sudi berkongsi resepi mee abahnya untuk dikongsi bersama-sama. Katanya resepi ini adalah turun temurun dari abahnya iaitu ayah mertuanya sendiri. Terima kasih sekali lagi...

Monday, November 19, 2012

Homemade sardin tuna

Bahan2
1 kilo ikan tongkol (Kayu/tuna/mamu/aya)
3 labu bawang besar
15 tangkai cili kering
bawang merah dan bawang putih
gula, garam, asam keping dan sedikit perisa ajinomoto
cili api jika suka pedas

1. Bersihkan ikan tongkol.
2. Rebus ikan bersama garam dan asam keping
3. Asingkan isi dari tulang ikan.
4. Tumis cili kering yang sudah dikisar bersama bawang. Masak seperti membuat sambal ikan.

Tentu ada yang pernah makan sardin tuna kan? Bekasnya kecik kenit jer. Dulu pernah aku cuba buat sekali. Sekali ni aku buat lebih siket. Asingkan dalam bekas dan simpan dalam freezer. Boleh makan bila2 masa dengan roti atau jadikan lauk gitu sahaja makan dengan nasi panas.

Sardin tuna yang aku masak hari tu. Sedap sungguh. Awat nak puji diri sendiri? He he he. Aku dapat sesuaikannya dengan citarasa sendiri kot. Dapat pula ikan segar dari pasar. Aku berdiri lama depan tong ikan tu. Agaknya penjual ikan tu perasan aku buat muka tak puas hati. Aku tengah berfikir sebenarnya. Awat ikan yang terbungkang besar harganya sekilo RM7 tapi yang kecik saiznya sekilo RM8. Dengan senyum penjual ikan tu tunjuk sambil cakap yang ni ikan isi putih, rasanya lebih sedap. Ooouhh.. patut la pun.. Memang isi ikan tongkol putih ni tak sekeras seperti ikan tongkol yang kulitnya lebih gelap. Entri aku pasal ikan tongkol sebelum ni ada kat sini. 

Yup! Sebetulnya  ikan tongkol tu aku tak rebus bersahaja dengan asam dan garam. Isinya diangkat buat sambal tapi bahagian kepalanya ada dalam periuk dijadikan masak singgang!


Thursday, August 23, 2012

Lidah cicah air asam


Assalamualaikum
Ini gambar lidah lembu rebus yang sudah disiram dengan air asam. Biasa la orang utara ni gemar sangat dengan air asam. Air asam tu ialah sambal belacan cair. Bahan asas ialah garam, asam jawa, dan cili api yang dipatah2kan dengan jari. Larutkan kesemuanya dengan air. Picit sikit air asam limau sebagai pembangkit selera. Belacan yang aku gunakan tentulah belacan Alor Ibus.

Kawan aku duk cerita kat aku lama sangat dah pasal keenakan lidah lembu cicah air asam. Dek kerana ada bekalan lidah lembu segar yang dijual kat pasar sebelum aidilfitri, dapatlah aku mencubanya. Sebenarnya aku pusing balik setelah berfikir dua kali. Mulanya nak jalan terus balik ke  rumah aja dah.Aku belum biasa lagi makan lidah lembu.

Inilah dia rupa lidah lembu segar sebelum direbus. Aku tanya penjual tu macamana carakerja nak buat masak lidah lembu. Dia cakap lepas rebus bahagian lidah yang hitam tu lekang, kikis buanglah. Bahagian lain semuanya boleh dimakan. Rakan sebelah penjual tu geleng kepala. Kata dia semua benda nak tanya.

Tentulah geli tengok gambar lidah yang dah bertahun mengunyah rumput hijau ni kan.. Ha ha ha.
Bila tunjuk gambar ni kat anak lelaki aku dia cakap eeeeeeii. Tapi dia dah pun makan lidah ni baru tengok gambarnya. Masa makan dia kata bahagian lidah ni paling sedap. Teksturnya amat lembut. Penjual daging tu pun cakap lidah lah paling sedap. Kawan aku yang kempen kat aku tu pun cakap lidah lembu sangat sedap. Sedap tak tau nak habaq! Kawan aku ni yang duk kempen aku masak puding telur gula hangus tu lah.

                                                                by google
Lagi satu dulu2 pernah kawan aku yang sama ni kempen kat aku makan buah pinggang lembu. Dia cakap orang panggil ginjal ni sebagai geli geli. Dia ajarkan sekali cara nak hilangkan bau hancing pada buah pinggang ini. Cara masak  lebih kurang macam masak hati. Lebihkan jintan dan lada hitam. Hati masak putih. Tapi buah pinggang ni lagi sedap dari hati lembu atau hati ayam. Tapi sampai la ni kalau nampak buah pinggang lembu aku jeling jeling saja. Teringat ke kenangan lalu.Tak kuasa betul aku. Bukannya mudah nak  hilangkan bau hancingnya walaupun dah aku cucinya banyak kali.

Sunday, August 12, 2012

Ketayap sengkuang perisa passembor

Bahan2
Inti
ubi sengkuang, kacang buncis, karot, udang dan bawang besar.
-Tumis bawang  putih. Masukkan udang  dan sayuran yang sudah  dipotong halus memanjang.
-Tutup api bila sayuran sudah masak. Ketepikan.

Kulit ketayap (sebagai ganti kulit popia.)
-Bancuh  tepung untuk membuat kuih ketayap.

Kuah perisa pasembor
-Boleh KLIK KAT SINI. @
-Tumis bawang putih. Masukkan serbuk cabai, bawang goreng, udang kering kisar, gula merah dan kicap. (Masak sehingga agak kering sedikit kuah  ini. Boleh tambah sedikit tepung jagung jika suka) 

Bila kepingan kuih  ketayap siap, bolehlah digulungkan bersama dengan sayuran yang sudah siap dimasak tadi. Buat sehingga habis. Popia ketayap siap dihidang bersama dengan kuahnya.

Lama sudah aku teringin nak makan popia berperisa udang, ubi sengkuang dan  kacang boncis ini. Inti sayuran untuk popia aku ni asalnya adalah dari makanan yang dipanggil orang Singapore Pie. Tapi nak buat kulit kuih beracuan singapopai tu menjadi masalah lah bagi aku. Bimbang pula ia susah menjadi. Waktu  remaja kat kampung aku dulu popular sangatlah singapopai ni. Balek2 mak sedara aku tu suka sangat buat singapopai. Lani jarang  dah aku dengar singapopai disebut orang.

Gambar popia kat atas tu pun sebenarnya aku pinjam dari Google ajer. Popia ketayap yang aku buat tu malas pulak aku nak ambik gambarnya waktu makan hari tu. Bulan2 puasa ni kurang mood lak nak bergambar berpasai...hehe.
                                                                     by google
Kut2 ada yang belum biasa dengan Singapore Pie, beginilah cara kulit luarnya dibuat. Lebih kurang macam buat kuih ros@kuih kembang@kuih loyang. Acuan tembaga ni rasa aku masih boleh didapati ada dijual lagi kat Pekan Rabu Alor  Setar.

                                                                 by google
Yang comel2 ni lah dia Singapore Pie. Aku kurang minat siketlah dengan kulit luarnya tu. Sebab gigit rasa kosong jer...Kalau gantikan bakul nipis  comel tu dengan tauhu goreng ke, barulah cepat siket rasa kenyangnya. Hehehe...

Thursday, January 19, 2012

Rendang bapak ayam kampung

Bahan2
1 ekor ayam
1/2  biji betik muda.
Cili api, bawang besar, bawang merah, lengkuas, serai(lebihkan serai), kunyit, rempah serbuk kari daging, jintan manis, jintan putih, kerisek, santan, garam, asam dan sedikit ajinomoto.

Layur ayam kampung yang sudah siap dibuang perutnya. Potong ayam dan bersihkan.
Blender bawang, cili, serai, lengkuas, jintan dan kunyit.
Masukkan ayam ke dalam kuali bersama semua bahan2 yang telah dimesin.
Tambah santan. Masukkan betik. Masak hingga ayam empuk. Masukkan garam, asam dan aji.
Masak lagi hingga hampir kering. Padamkan api dan angkat.

Pada hari yang aku balik kampung ambik buah timun betik, abang aku beri aku seekor ayam. Bapa ayam muda, tajinya masih pendek lagi, kata dia. Ayam ni ayam bulu balik. Dulu abang aku cakap, kalau nak bela ayam, elok bela sekali baka bulu balik sebab kalau ada apa2 penyakit yang nak menyerang ayam, situasi 'bulu balik' tu akan menolak balik penyakit yang bakal datang. Dia pun dapat petua ni dari orang2 lama. Entah sengaja orang dulu2 nak berperi-peri atau ada kebenarannya itu wallahualam.
Sebelum2 ni ayam tak dapat ditangkap sebab  sangat liar. Oleh sebab hari tu dah senja, jadi ayam pun dah rabun2 ayamlah agaknya.:)   Cadang aku mulanya nak letak sekali gambar ayam tu kat sini. Tapi tak jadi. Tak sanggup rasanya nak tenung wajah suci si ayam yang dah tak ada lagi... Fuhh panjang lak mukaddimah aku pasal ayam.


Lama sangat dah aku tak mengendalikan ayam sembelih untuk di masak. Isi daging ayam kampung tak sama dengan ayam siap proses yang dibeli kat pasar atau pasaraya. Ayam kampung isinya pejal dan keras. Mengendalikan ayam daging dari  pasar yang dah siap diproses lembeknya ibarat beras pulut yang dah siap ditapaikan. (Andaian aku ni tak boleh diguna pakai oleh orang lain...hehe)

Patutlah dulu2 ayah aku  merungut2 minta mak aku tunjukkan pada aku bagaimana cara2 untuk menyiang ayam yang baru sembelih. Celur dengan air panas, cabut bulu, layur pada api, buang perut dan menyiangnya mengikut tertib langkah yang sepatutnya. Maka sering teringatlah aku pada guru perempuan yang rapat rajin bercerita hari2 dengan aku. Pada keadaan yang tertentu dia akan  mengulang cerita bagaimana dia waktu mula2 baru kahwin dulu bapak mertuanya duk tunggu tengok dia menyiang ayam. Tiap kali apa dia buat, bapak mertua dia akan cakap, .." bukan buat lagu tu... bukan macam tuu... orang tak buat lagu tuu ....". Haha. Sangat lawak bila dia duk ulang2 cerita kat aku.      

Aku dapat resepi ni dari rakan sekerja aku. Kata dia mak mertua dia masakkan burung macam ni lah. Depa selalu makan burung hutan. Tak perasan lah. Burung sintar dengan burung ruak2 kut. Burung puyuh pun sedap masak lagu ni, kata dia lagi.Tapi kata dia bila dia masak macam ni guna ayam daging biasa yang dibeli kat pasar tu ia tak menjadi. Hancur habis dagingnya dan rasanya pun tak sama dengan bila dimasak guna ayam kampung. Dan kata kakak ipar dia, kalau nak masak guna ayam daging, kena keluarkan dulu isi ayam, keringkan kuahnya sedikit dan kemudian barulah masukkan balik isi ayam tadi ke dalam kuali.
Buah betik dicampurkan sekali untuk proses cepat melembutkan daging ayam kampung. Lagipun campuran dengan buah betik akan menambah rasa manis pada  rendang atau gulai ayam.

Memang pada aku pun rasanya tak sama dengan rendang biasa yang selalu aku buat untuk cicah dengan ketupat pulut pada hari raya.
Anehnya anak aku yang perempuan tu cakap, pada dia tak ada apa2 beza pun. Hi hi. 
Komen anak lelaki aku? Dia cakap, makan mak masak macam ni barulah pendekar. Asal lak pendekar? Aku tanya. Ayam ni ada keris kat kaki! kata dia..Ah, budak ini. 
Patutlah pagi esoknya selepas aku perangat rendang ni  tudung kuali berbunyi berulang2 kali.  Bila tudung kuali tu dah diam, aku pun pergi jenguk. Oh. Dah berseh rupanya. Daging ayam tu pun warnanya gelap2 macam panglima berbaju hitam jugalah. Hitam dagingnya itu aku agak sebab bulunya yang berwarna hitam.

Saturday, December 3, 2011

Karipap dan Oya


Minggu ini aku sibuk denga  cita-cita nak buat sulaman. Ini berkait dengan entri aku yang lepas. Penuh dengan gambar bunga sulam. Sulaman ini dikenali dengan nama oya.
Selepas lima hari explore aku baru terjumpa dengan punca utama sebab apa aku gagal sebelum ini. Buat dulu baru baca. Ha ha. Rupanya bukan aku sorang saja yang alami masalah sama. Orang lain pun begitu juga.

"...its a lot better if you have someone sitting next to you teaching you..."
"...have been tried but I cant!...."
"...oya isn't the easiest thing on earth!..."

Ha ha. Aku baru terjumpa dengan asas simpulan pertama. Belum masuk bab nak bentuk bunganya lagi.Aku hysteria.
But practise makes perfect! Wish me luck. Ha ha.

Nak calm down, aku pi buat karipap. "..Konyang gak poghut..." Ha ha. Sorry Ct Norarizah ya? Mak Ngah selalu nampak CT tulis macam tu...
Bukan currypuff ya? Langsung tak ada perisa kari. Tapi tak tau mai mana ni la karipap yang aku duk khayal dari aku kecik2 dulu sampai lala ni. Dari mana asal mula makan dan dari mana belajar, tak ingat. Kalau buat karipap ni anak aku yang lelaki tu selalu cakap suruh aku tambah daging banyak2. Nak senang, beli saja
daging cincang yang dah siap.
Bahan2 nya ialah daging cincang, kentang, bawang putih(tumis), bawang besar, lada hitam, cili besar dan daun sup. Kat sini aku hanya nak highligt inti karipap sajalah.Dah siap masak inti karipap ni, anak2 aku ambik separuh buat makan dengan nasi putih lah pulak. Pastri untuk kulit karipap aku buat ikut naluri saja. Hehe. Gambar karipap siap bergoreng pun tak ada, masa goreng dan makan, mood nak ambik gambarnya dah tak ada. Hehe.                                                                                                                                   
              

Wednesday, November 23, 2011

Sardin bakar





Bahan2
2 ekor ikan sardin
bahan tumbuk(jintan manis, ketumbar, cili api, bawang merah, garam, belacan, asam jawa, serai, kunyit hidup, kelapa mesin.
Perap ikan yang sudah dibelah belakang dengan bahan tumbuk lebih kurang setengah jam atau lebih.

Aku belum pernah lagi terjumpa dengan ikan sardin besar dijual orang kat pasar sebelum ini.. Penjual tu cakap ikan ni bukan senang nak jumpa. 6 atau 7 tahun sekali dia berenang mai ke Malaysia dari lautan sejuk. Sedap dibakar seperti ikan cencaru. Tapi katanya ikan ni lagi sedap dari ikan cencaru. Lepas masak, aku pun rasa ianya lebih sedap dari ikan cencaru.
Penyediaan ikan cencaru bakar, sila klik kat sini.