Followers

Tuesday, May 31, 2011

Apom dari tapai nasi

Rupa apom/apam yang sudah siap dimasak.
Kiri bawah > nasi yang sudah ditapaikan
Kanan bawah > ragi
Tengah atas > Eno

Resepi ini aku dapat dari kawan aku yang berikan resepi kuih koci dan apam ice-cream soda.
Aku suka pada rasa dan baunya sebab aku pernah makan yang dibuat oleh arwah tok aku. Tapi yang aku buat ni belum lagi sampai ketahap itu. Hehe.

Bahan-bahan
1 cawan nasi yang sudah disejukkan#
Ragi#
2 cawan air
250 gm tepung beras
Gula
Eno

Cara membuat tapai nasi#
Tapis ragi dengan cara gosokkannya dengan penapis teh kepada nasi sehingga rata. Simpan selama 24 jam. Ia akan bertukar menjadi tapai.

Cara membuat apom/apam
Campurkan tepung beras, 2 cawan air, gula dan tapai nasi. Blender. Simpan adunan ini selama 12jam.
Selepas 12 jam, kukus dengan segera selepas dicampurkan Eno. Gaul Eno hingga sebati ke dalam adunan dan kukus dengan segera. Panaskan periuk kukus terlebih dahulu.

Sukatan gula aku tak pasti sebab aku masukkannya lepas tambah sedikit demi sedikit . :)
Boleh tambahkan pewarna jika suka.

Semasa menghidangkan, bolehlah taburkan kelapa parut yang dicampur dengan sedikit garam.

2 hari lepas masak apam ice-cream soda. Hari ni apam lagi. Macam ada festival apam lah pulak ni.... Hehe.
20/10/2015 - Bagaimana cara aku buat kuih apam yang lebih baik ada KAT SINI

Monday, May 30, 2011

Aiskrim Coklat


Aiskrim yang sudah siap untuk dimakan :)

Susu tepung, tepung jagung dan gula selepas dimasak.




Putarkan susu sejat/cair




Asalnya resepi aiskrim coklat. Aku ubahkannya menjadi perisa mangga. Aku gunakan jus mangga ganti milo. Yang masam-masam lebih jadi minat aku. Yang manis berlemak aku kurang suka.

Muka aku pun ikut jadi masam. Payah senyum. Haha.

Apam ice-cream soda

Rupa apam yang siap dimasak


Memutarkan putih telur dan gula


Kuning telur putar berasingan


Tak jumpa ice-cream soda kat pasaraya kecik yang aku pergi tu, aku tukar dengan FN orange.

Semalam aku buat kuih apam ini. Selalunya bila teringat nak makan sesuatu jenis kuih, beria-ia aku cari bahan dan masakkannya. Tapi bila dah siap dimasak, bukannya nak makan banyak mana pun. Budak-budak bukannya suka makan kuih jenis yang manis-manis ni.

Resepinya seperti berikut
9 aun tepung
6 aun gula
3 aun ice-cream soda
4 biji telur

Pukul telur dengan gula hingga kembang. Masukkan ice-cream soda hingga sebati. Masukkan tepung. Kukuskan dengan segera dalam pengukus yang telah siap dipanaskan.

Belimbing Hijau Vs Belimbing Putih


Ini cerita belimbing lagi. Buah belimbing buluh berwarna hijau dan yang satu lagi tu nak kata kuning ke putih? Abang aku cakap buah belimbing putih, dia ni otai bab sayuran kampung. Huhu.

Abang aku cakap yang warna hijau tu pasarannya lebih tinggi. Restoran gunakannya untuk buat masakan lemak kuning. Ada buah-buah hijau melampung timbul warna hijau, nampak cantiklah katanya. Hehe.

Aku pun baru sedar aja yang belimbing ni ada dua warna bila pokok yang aku tanam dah besar dan berbuah.

Kedua-dua jenis belimbing ni dah aku sukatkan keasidannya. Nampak yang kuning tu kepekatannya 0-1. Yang hijau tu macam kurang asidnya. Yang hijau tu dah 5 hari dipetik kot. Yang kuning tu baru petik. Fresh lagi. Ada paralaks siket kot. Hehe.

Tapi kesimpulannya keasidan keduanya lebihkurang sajalah kot. Aku dapat info dari internet bahawa keasidan yang tinggi dari asid sitrik buah belimbing boleh menyebabkan penyakit kencing tak lawas.
Apa-apa pun kalau diambil melebihi dos pasti bawa mudarat kan. :)

Pokok Hujan Lebat dan Penyakit Kuning

Pokok ini dipanggil pokok Hujan Lebat. Bahasa Scientificnya aku tak tau. Pokok ni pun aku baru tau saja. Sebelum ni tak berapa nak perasan. Nama Hujan Lebat pun baru jer dengar. Orang lain ramai yang tahu pasal pokok ini.

Gunanya untuk direbus daunnya dan airnya dimandikan anak-anak yang baru lahir untuk elakkan terkena penyakit kuning.

Aku dah rebuskan. Memang airnya berwarna kuning.
Dah pun mandikan cucu aku yang baru lahir dengan air rebusan daun ini. Dia taklah terkena penyakit kuning yang teruk.

Tapi aku dah sulamkan juga dengan herba yang didapati dari kedai ubat Cina. :):) .Herba ini dibungkus lebihkurang macam bungkusan uncang teh dan baunya pun macam teh bunga kekwa.

Sunday, May 29, 2011

Sambal buah macang


Ini hanya sambal belacan biasa. Taruk cili api, cili besar, garam, belacan (kalau patut bakar, bakar dulu siket) dan last sekali masukkan buah bacang yang dihiris. Tak perlu ditumbuk hancur semua. Antara sambal belacan nombor wahid yang aku minat.

Cuma aku tak berapa nak faham pada ungkapan 'Kalau tak dapat durian, bachang pun jadilah'

Saturday, May 28, 2011

Lobak putih masak tumis air


Sebelum-sebelum ni aku selalu juga masak lobak putih.
Guru Biologi cakap bagus untuk buah pinggang. Kata dia mula-mula kena penyakit kencing manis, lepas dah kena kencing manis, dia akan melarat-melarat pi ganggu urinary system.

Kalau tengok drama Jepun atau Korea aku rasa selalu gak ternampak adengan perempuan yang kelek bawa balik makanan lain termasuk lobak putih untuk masak makan malam. Lobak putih selalu ada.

Lama tak masak lobak putih sebab rasanya agak pahit-pahit siket. Anak aku langsung kata tak sedap. Itu pun bila masak aku dah tambahkan sedikit gula.

Semalam teringat nak masak lagi sayur lobak putih. Sebab kawan aku si Eda ada buat entri pasal lobak putih. Hehe.

Sebelum tu tanya kawan-kawan kat sini. Semuanya kata masak lobak putih campur suun dan udang kering. Oh ya, betullah. Sebelum-sebelum ni macam tulah yang selalu aku tengok orang buat.
Aku tanya suun dengan tanghun tu benda yang sama ka? Sama kot. Katanya. Suun tu bahasa surat. Tanghun tu bahasa orang Kedah. Oh, aku cakap macam toyou dengan tongyiu lah lebih kurang.
Orang Kedah lama cakap kicap tu toyou. Tapi kalau yang lagi lama dia sebut tongyou. Rasanya lebih lemak dan lagi sedap kicap tu bila disebut tongyou. Haha.

Oh ya. Lobak putih yang aku beli ni bukan yang saiz biasa. Yang ni kecik siket. Nyonya tu cakap 'ini kampong punya'. Kalau ada perkataan kampong tu lagilah mudah perangkap hati aku.
Memang betullah dakwaannya lobak kampong ni lebih manis rasanya dari yang Cameron Highland bersaiz besar tu.

Friday, May 27, 2011

Pulut Sekaya a.k.a. Pulut Serimuka

Zaman kecik-kecik dulu kalaulah ada orang hidangkan pulut sekaya ni, alangkah sedapnya aku rasa. Zaman dulu-dulu manalah ada makanan yang semewah seperti sekarang.


Akhirnya dapatlah aku resepinya dari kawan aku. Dia kata ginilah cara yang dibuat oleh maknya. Aku pun balik cuba buat kat rumah. Lama dulu dah. Oh, memang sedap rasanya.

Baru-baru ada orang bercerita ada sapa tak tau yang berkenduri pulut sekaya. Aku pun cubalah buat sebab sebelum ini pun dah memang siket-siket ada dalam agenda aku ni. Hehe.

Lepas masak, aku bawa bagi kat kawan-kawan aku. Besala. Ada gelak-gelak. Aku bukannya ada potensi pakar memasak. Ada silap sana sini. Tapi yang penting tak ada pun depa cakap kuih aku ni tak sedap. Haha.. Sedap.

1 mangkuk pulut
1 mangkuk telur~pecahkan masuk sebiji2 dalam mangkuk
1 mangkuk santan (+air pandan+sedikit garam~untuk lapisan atas)
1 mangkuk gula
secukup santan cair untuk kukus pulut (untuk lapisan bawah)
1 keping kecil kulit kayu manis.

1. Rendam beras pulut semalaman. (Aku guna pulut susu, aku rendam 4jam sahaja)
2. Kukuskan pulut dalam loyang. Sukatan santan untuk pulut ini ialah santan sama paras dengan pulut. Gaulkan dulu santan dengan sedikit garam supaya ia cukup rasa berlemak.
3. Bila pulut dalam loyang sudah masak, tekan-tekan dengan senduk atau sudu supaya ia padat dan sekata.
4. Blender gula bersama telur hingga hancur. Tumbuk dan tapis kulit kayu manis. Satukan bahan-bahan ini bersama dengan santan yang sudah dicampurkan dengan air pandan dan sedikit garam. Ini untuk bahagian atas. Gunakan sedikit sahaja kulit kayu manis untuk hilangkan bau hanyir telur.
4. Bila loyang berisi pulut sudah dipanaskan semula, masukkan bahagian atas untuk di masak sekali lagi.

Nota kaki :
Bahagian bawah, cukup 20 minit aku tengok ia dah masak. Bahagian atas pun 15-20 minit juga.
Ada yang sarankan tambah sedikit tepung jagung untuk memekat bahagian atas.
Gunakan mangkuk yang sama untuk menyukat setiap bahan.
Aku kurangkan sedikit sukatan gula untuk rasa manis yang sedang2 sahaja.

Wednesday, May 25, 2011

kuih kasui

Kuih kosui ni dibuat malam semalam. Mintak anak bujangku ambil gambarnya. Ini hasil kerjatangan dia la. Tak dan dan dia insert gambar ni dulu. Dia kata dia buat 'watermark' kat mak dia sekali. Betul ke pronaun dan speling tu, tak tau la. Lagi satu dia pesan, bagi-bagi la kredit kat dia siket melalui blog mak ni...

Buat kuih ni sebab anak pempuan yang sedang berpantang tu asik dok makan biskut kering ja. Dia minat nak makan kuih kosui.

Bahan2nya
1 cawan tepung gandum
1 cawan gula merah
2 cawan air.
(kelapa parut dicampur sedikit garam untuk digaul kemudian)

Larutkan semua bahan di atas. Tapis. Masukkan dalam kukusan yang telah sedia dipanaskan.. Kukus 30 ke 4o minit atau hingga kelihatan berkilat.

Resepi di atas tu adalah resepi pakai main ingat-ingat dan agak-agak saja sebab mak sedara aku rajin buat kuih ni. Kuih yang aku buat ni aku tambahkan 1 camca tepung ubi dan satu camca tepung jagung. Jadi kuih aku ni kuranglah gedik-gediknya. Agaknya lain kali kena gunakan 1 suduteh tepung jagung dan 1 sudu teh tepung kanji.

Gedik tu istilah pada kuih yang lembut bergetah dan elok gegarnya bila disentuh. Tepat bancuhan tepung dan cecairnya. Kalau buat kuih ni hari-hari agaknya mudahlah nak diadjustkan. . Dulu-dulu aku tak minat kuih ni. Rupa dia nampak bosan jer. Hehe.

Mudah sangat-sangat kan? Kuih paling simple. Sesuai untuk orang yang kurang rajin macam aku ni. Hehe.



Tuesday, May 24, 2011

Life lies on a circule

mak pesan selalu ya, bukan semua benda boleh dibeli dengan wang ringgit....

ingat-ingatlah dan selamat beramal...

Friday, May 20, 2011

Orkid ku- suka duka bersama orkid..

Ini ja yang tinggal... What will be it will be.... (^..^)
Banyak yang dah kena potong. Minggu lepas ranting2 yang dah dipotong tu hilang! Lawak... Ada ranting yang berterabur kot tengah jalan. Punya la orang tu bawa lari sampai ada yang terjatuh.. Kalaulah ternampak kat aku, mesti aku gelak tengok dia. Nak ambik pun, kurang2nya bagi tahu lah...
6 bulan dulu.... permulaan diserang penyakit misteri...
5 bulan dulu... Masih menawan mempersona. Hairan pasaipa nyonya2 rajin dok mai minta, suruh aku potong pokok ni bagi kat depa....

Thursday, May 19, 2011

Pekasam ikan gelama.

Dah cukup 3 malam diperam, dah sesuai untuk digoreng.

Gambar ni spoiled. Blur.

Aku tepek lebih serbuk beras goreng semasa menggoreng. Dah macam goreng bertepung la pulak. Kalau pekasam yang dibeli, aku selalu basuh pulak beras goreng tu....

Dah 3 hari aku asik makan nasi bersama ikan pekasam. Tak tau la ni projek kali keberapa. 3 orang, aku dengan kawan2 aku pakat duk cerita pasai pekasam la la ni. Yang sorang tu lagilah canggih. Suami dia minta dia buat pekasam guna udang2 kecilyang didapati dari bendang. Orang zaman la ni jaranglah yang tahu pasal pekasam udang sawah ni. Dia kata kat Perlis masih ada orang menjualnya, RM4 tu dapat sejemput jer....

Cara-cara membuat pekasam.
1. Siang dan bersihkan ikan. Kisar dengan garam kasar dan asam.(asam keping@asam jawa@asam belimbing). Bilas hingga betul2 bersih.
(Kawan aku cakap kalau guna ikan puyu lagilah lambat nak buat kerja. Alangkah susahnya nak siang ikan puyu. Kena pulak diberus keseluruhan darah2 beku yang masih bersisa diperutnya dengan menggunakan berus gigi!)
2. Peram ikan semalaman bersama garam kasar. Tambah asam keping.
3. Bersihkan ikan sekali lagi hingga bersih. Sejatkan.
4. Basuh beras. Sejatkan hingga kering. Goreng hingga kekuningan. Mesin beras goreng tadi. Bancuh serbuk beras goreng dengan air masak mati. Tambah garam jika kurang masin. Lumurkan keseluruhan ikan dengan beras goreng. Tambahkan asam keping. Masukkan dalam bekas bertutup.
5. Selepas 3 malam diperam, pekasam sudah boleh digoreng.

Hasil yang aku buat ni adalah iras2 rasa ikan pekasam. Hehe. Diet budak tukang komen kat dalam rumah ni pun hancus. Dia makan nasi bertambah. Budjet nak rasa siket jer. Bila aku tanya sedap ke? Dia kata dah makan habis tu tandanya sedaplah. Yang dia makan kat 'Putra Palace' pun tak sedap. Aku tanya pasaipa tak sedap, dia kata yang tu masin dan keras.

Gitulah ceritanya ikan pekasam. Kalau kita masukkan banyak garam, rasanya masin tapi pekasam tu tahan lama. Jika rasanya sedang2 elok, kita dapat makan sekor2 serupa memakan ikan goreng biasa. Tapi yang kurang masin tak dapat disimpan lama, mungkin hancur bila digoreng.

P/S:Tip penting semasa mengendalikan ikan pekasam ialah  jangan sekali2 dedahkannya secara terbuka. Jika ada seekor sahaja lalat yang berjaya hinggap pada ikan pekasam anda, tunggulah masa kemusnahannya. Bergeliang-geliut anak2 ulat akan hidup dan membesar dalam masa yang singkat di dalam bekas pekasam anda!

Wednesday, May 18, 2011

Periuk kukus dari Padang Besar


Inilah dia rupa periuk kukus ku. Hehe. Aku pun tak nah terpikir nak pi cari periuk ni sampai ke Padang Besar. Rupanya macam senibina Thai jer...Sorang kakak yang dah 10 tahun aku dah tak kerja setempat dengan dia, selalu ajak aku pi Padang Besar.

Bila aku tanya pi buat apa? Dia kata pi beli beras pulut. Buata apa beras pulut? Dia kata dah nak raya. Buat ketupat.
Pi buat apa? Pi beli periuk kukus. Ada-ada aja lah dia ni. Yang sebenarnya dia ni sayang dekat aku. Hehe.

Alahh... kakak yang nak beli batu giling dari aku tu. Dia ni seorang ibu yang baik. Tapi suka berleter. Kuat gila berleternya. Hehe. Kalau aku sebut siket ja kenakalan anak aku, dia punya prang pranng tak tau nak habaq la. Tapi yang anak aku ni dah jenis yang dah terbiasa kena 'sengat' dengan aku, dia senyum-senyum sajalah dengan gelagat kawan baik aku ni.

Aku belilah periuk ini sebab ianya sesuai untuk mengukus beras pulut. Beras pulut tak jatuh melalui lubang kukusannya yang kecik tu. Kakak tu cakap yang kecik ni boleh masak 2 kepol beras kut, aku pun tak pandailah yang lain dari sukatan metrik ni. Hihi.
Tak padan dengan periuk loyang, aku beli beberapa tahun lepas pun harganya RM4o.

Bukan susah pun nak join depa ni sebenarnya. Tambangnya cuma upah kat driver bas tu 3 ke 5 hinggit saja. Balik dari Padang Besar baru bas penuh dengan muatan barang2 yang depa shopping.

Jadi aku syak depa ni ralit ronda ke Padang Besar sebab nak panaskan enjin bas sahaja. Kalau tidak, beku sajalah enjin bas tu kat dalam garaj.

Setahun aku dengar lebih dari 10 kali depa shopping kat Padang Besar. Aku dah tak tau nak berkenan kat apa lagi di Padang Besar tu. Pokok-pokok orkid adalah yang menggamit hati aku untuk usha-usha tiap kali aku pi.

Tapi sejak akhir-akhir ni kakak tu dah tak berapa nak semawa kat aku lagi. Agaknya sebab sambil ronda-ronda shopping-shopping tu aku kerap menyebut, 'tak larat...tak larat... penat...penat'. Aku kurang suka jalan-jalan tanpa tujuan.

Saturday, May 14, 2011

Pokok jeruju

Ini pokok jeruju. Aku tanam 2 bulan lepas. Dapat dari abang aku di kampong. Dia kata orang tanam pokok ni banyak dekat Taman Burung Seberang Jaya, Penang. Dipercayai dapat menjauhi penyakit sampar @ hawar yang menyerang haiwan jenis burung. Ayam2 yang dibela oleh abang aku terselamat dari sampar yang merebak sedikit masa dahulu akibat penyakit bawaan air pada banjir besar yang melanda Kedah hujung tahun lepas.

Daunnya boleh digunakan di dalam rumah untuk menjauhi makhluk halus semasa ibu bersalin.

Info tambahan :- Air rebusan daun dan batang pokok boleh diminum untuk merawat penyakit kulit. Air rebusan akarnya sahaja diminum untuk merawat demam panas yang kronik. Ini hasil bacaan dari internet... :)

Aku peminat tempe

Aku ni sebenarnya peminat tempe. Tapi itu pun tempe ini ja yang aku berani beli. Tempe kat meja sekian-sekian dan rupanya lagu ni. Tempe orang lain dan rupa lain, aku tak berani beli.

Tempe sambal yang dijual kat cafe tempat aku kerja pun pelik juga rasanya.

Kalau beli tempe ni, aku letak garam kunyit dan goreng begitu sahaja. Rasa dia dah cukup sedap. Ada orang kata sedap tempe macam ayam goreng, tapi aku kurang minat ayam goreng, jadi sedap lagi tempe ni pada selera aku. Budak2 kat rumah ni pun suka.

Dulu pernah seorang kawan di tempat kerja aku bagi petua bagaimana cara-cara untuk membuat tempe. Dia ni jawa asli. Jawa hensem. Kulitnya putih. Beria-ria dia bercerita dan suruh kami cuba membuatnya.

Satu cerita lain yang aku tak boleh lupa pasal dia ni ialah bila dia bercerita kisah datuk dan neneknya di zaman jepun. Dia dakwa datuknya pernah selamatkan neneknya dari gangguan jepun. Datuknya unjukkan kain yang telah dikotorkan dengan air ludahan sirih pinang pada askar jepun. Askar jepun pun percaya yang neneknya sedang 'datang bulan'.
Kami semua gelak dengar cerita dia. Awat kami tak rasa sedih padahal dia sedang menceritakan pengkisahan kekejaman tentera jepun?

Cara-cara membuat tempe
1. Rendam kacang soya selama 3 malam.
2. Basuh, bersihkan dan asingkan kulit dari isinya.
3. Didihkan semula. (Matikan kuman)
4,Keringkan perlahan2 di udara samada ditabur atas lantai atau talam.
5.Taburkan serbuk tempe (Yang didapati dari tempe yang sudah dihancurkan hingga menjadi butir2 tepung) di atas adunan yang telah sejuk tadi. Gaul lagi hingga sebati, semua tempat telah terkena pada ibu ragi tersebut.)
5.Bungkuskan dalam daun pisang. Simpan selama 2 malam sebelum boleh dimakan.

Emping kerabu


Ini emping kerabu. Rupanya ada juga orang panggil emping pedas. Kakak yang bagi resepi kaduk pinang tu bagi resepi ini juga kat aku. Dia pesan suruh aku cuba buat. Jumaat lepas lah baru aku cuba buat dan rasa.

Bahan-bahan
3 cawan emping
1 cawan kelapa parut dijadikan kerisik
10 ulas bawang merah hiris nipis dan digoreng
4 batang serai dihiris nipis dan digoreng
2 camca serbuk udang kering ~ digoreng dan ditumbuk
2 camca serbuk ikan talang kering ~ digoreng dan ditumbuk
15 tangkai cili kering dihiris nipis dan digoreng
Gula dan garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menggoreng

cara
Emping digoreng dengan sedikit minyak hingga kuning dan menggelembung. Masukkan semua bahan-bahan tadi ke dalam emping dan goreng sekali lagi. Semasa menggoreng ini janganlah mengunakan minyak lagi. Emping kerabu tahan lama dan sesuai dibuat bekal dalam perjalanan.

Abuk-abuk


Ini kuih abuk-abuk yang aku buat pada hari Jumaat lepas. Kuih ini aku dengan kawan kawan pernah buat semasa berada di kelas menengah rendah dahulu. Dulu2 tak ada KBSR KBSM KBKK. Ini subjek Sains Rumah Tangga. Huhu.

Aku pernah keliru dengan satu jenis kuih lagi. Aku sangka tepung gomak tulah kuih abuk-abuk. Kuih tepung gomak pun aku kenal masa aku duk kat asrama di Temerloh. Boringnya rasa time tu kalau tengah sedap2 tidur loceng berbunyi untuk minum petang, kena naik ke dewan makan hanya untuk dapatkan sebiji tepung gomak!

Paling tak patut aku pernah pi cari kuih ni kat bazar Ramadan. Rasa rasanya tak pernah lagi aku terjumpa kuih ni di jual orang kat mana mana gerai pun.

Tak ada piawaian tepat untuk aku tulis kat sini.

Basuh sagu dan rendam dengan air pandan. Gaul kelapa parut (kelapa masak ~ kelapa kemantan) dengan sedikit garam.
Masukkan sagu ke dalam kelonsong daun pisang. Masukkan kelapa parut. Masukkan gula melaka. Tambahkan sagu dan tutup kelonsong daun pisang. Kukuskan hingga masak.

Sedap jugalah rasanya. Ada kombinasi aroma daun pisang, gula melaka dan kelapa. Anak aku kata dia suka.
Aku kata, 'Aik, mak rasa sedap lagi kuih koci...'

Laksa oh laksa


10 tahun aku meninggalkan negeri Kedah dulu, terigau-igau aku bila teringat nak makan laksa. Tak berjumpa dengan laksa citarasa utara. Kuahnya merah serupa asam pedas, letak pulak daun salad sebagai perencah. Eihh...

Balik Kedah selepas tu berjumpa pulak dengan laksa Teluk Kecai yang masyur kat Jalan Kuala Kedah, jalan tala nak pi naik bot tu. Laksa Teluk Kecai depa letakkan sambal kelapa dan daun putat yang buahnya besar2 tu sebagai perencah sayurnya.

Mak sedara aku yang pakar sayur rebung tu selalu ajak aku buat laksa kat rumah dia. Dia kata kita giling cabai buat laksa. Aku pelik pasaipa nak penat2 guna batu giling?

Suatu hari aku cuba gunakan batu giling untuk hancurkan cili kering dan ikan untuk masak laksa. Hasilnya baru aku faham. Sebab aku dapat rasakan balik kuah laksa seperti yang pernah aku makan waktu aku kecik2 dulu. Tradisional resepilah katakan....

Semasa menghancurkan isi ikan menggunakan mesin penghancur, iaitu blender, sedikit kenaikan suhu semasa putaran motornya memberi sedikit impak pada tisu2 ikan. Jika gunakan cara manual iaitu batu giling, manisnya rasa isi ikan dapat dikekalkan.

Tapi sekarang ni minat aku dah berubah dari laksa biasa kepada laksa Cina. Yang bagi resepi ni pun untie kat tempat kerja aku juga. Hari2 aku ternampak pokok pudina yang aku tanam, selalulah aku teringat nak makan laksa!

Bahan asas samalah dengan membuat kuah laksa biasa. Cili kering, bawang merah, bawang putih, daun kesum, belacan dan asam keping. Cuma laksa ni kena tambah kunyit hidup, serai yang dititik dan lengkuas yang diketuk2. Sayuran asasnya ialah nenas dan daun pudina. Aku suka guna laksa yang uratnya lebih kecil. Petua paling utama mestilah gunakan ikan yang segar.

Cekur Hitam

Ini gambar pokok cekur hitam. Kawan aku bagi. Aku tanam. Mak dia kata khasiatnya lebih baik dari cekur hijau biasa. Bagus untuk orang perempuan. :) Tapi aku pun jarang makan cekur ni. Rasa dia pelik siket.

Tuesday, May 10, 2011

Orkid Ku - permulaan minat menanam orkid...




Inilah antara serumpun orkid yang aku ada. Versi apa pun aku tak tau. Asalnya aku pacak dari benihnya sebatang ranting. Time rajin aku layan. Time malas aku biar. Spesis ni tahan lasak. Ni pun dah 4X dipindah randah tempat menanamnya oleh aku. Di sekeliling luar pagar rumah aku jugak la.

Di tempat yang lama sebelum ni bunganya selalu hilang. Jiran aku cakap suatu hari dia terserempak dengan nyonya yang baru keluar dari keretanya dan ready nak mulakan agendanya mengerjakan orkid ku. Haha. Bila sedar ada mata yang memerhatikannya terkocoh-kocoh dia masuk ke dalam keretanya dan mempress minyak berlalu pergi. Nak dihiaskan tempat sembahyangnya dengan orkid ku kot.... Hehe.

Dua gambar ini adalah beza antara masa aku mula menyemai pokoknya sehingga hari ini. Jarak masanya lebihkurang 10 bulan.

Sunday, May 8, 2011

Kerana kami masih kanak kanak....



Sekali sekala ia melintas diingatanku. Kerana aku melakukannya 5 kali dalam masa satu hari.

Hari itu ada tunjukajar bagaimana cara melakukan solat secara amali dari guru yang mengajar mengaji.

Alhamdulillah. Pada zaman itu ibu ibu dan bapa bapa kurang menitik beratkannya seperti yang lazim dilakukan oleh ibu bapa zaman sekarang. Ibu ibu zaman itu sering kulihat hari-hari menggayakan baju kebaya pendek. Rasa aku kalau tak silap orang kampung panggil baju bandum. Kainnya agak jarang, mengikut potongan bentuk pinggang dan leher baju berbentuk petak mendedahkan sebahagian anggota badan yang tidak sepatutnya didedahkan.

Kudengar dari depan suara guru sedang melakukan sujud. Kami anak anak dibelakang pun mengikut. Aku pun ikut sujud. Suara guru jelas kudengar membaca 'Subhanarob bial aq la wabiham dih.'

Serentak dengan itu aku dicubit. Kuat juga cubitannya. Rasa sakit. Setiap kali bacaan diulang, selama itulah aku menahan sakit. Aku terpinga pinga. Memang aku rasa sangat marah. Tapi aku tak mampu melawan. Budak perempuan yang bersolat di sebelah aku ni sangat garang.

Tentulah aku berfikir ligat diketika itu kenapa aku dicubit? Haha. Siapa tahu? Aku rasa aku dicubit sebab dia rasa dia seperti sedang diejek ejek. Siapa yang boleh faham apa yang ada difikiran seorang kanak kanak? Bagaimana cara kanak kanak berfikir?

Ayat2 dalam bacaan solat memang kami tak faham. 'Subhanarob bial aq la....' "LA" tu mungkin berbekas pada pendengaran dia. Orang panggil dia dengan nama Sila. Kakak dia panggil adik La. Namanya Rosila.

Thursday, May 5, 2011

Anggur oh anggur


by google


Aku ada 15 tahun pengalaman menanam anggur. Haha. Pengalaman la sangat!
Waktu anak2 aku sekolah rendah, kawan2 depa mai tengok anggur di rumah aku. Tapi gugusan buahnya berjurai panjang serupa dengan buah rambai. Macamana buat aku dah tak berapa ingat. Rasanya time tu keciwi duduk rumah yang baru dibeli, semua pokok rasa nak tanam. Jadi rasanya time tu rajinlah aku pasang air paip ke pokok anggur menitis secara perlahan-lahan siang dan malam.

Budak2 selalu mengendap dan buah2 anggur aku kerap hilang. Kesian kat depa sebab kena tipu, anggur aku tu rasanya masam!. Kesian kat aku. Nak menayang kat orang ada pokok anggur dengan buah2nya sekali tapi selalu lak buahnya hilang.

Baru2 ni aku baca pasal menanam anggur kat internet. Ranting dan daun anggur patut dipangkas 3 kali dalam setahun. Bulan 11-12, bulan 3-4 dan bulan 7-8. (90-110 hari). Aku sendiri pun tak berapa nak faham. Yang selalu aku alami ialah tunas bunga tak akan tumbuh pada mana-mana ranting yang daunnya sudah besar dan melebar. Putik bunga hanya akan keluar bersama-sama tunas pucuk daun yang baru tumbuh selepas dipangkas.

Jadi selepas ni kalau ada masa aku kena buangkan sahaja pucuk2 muda yang tumbuh tanpa ada tunas untuk berbunga. Simpan yang mana ada tunas bunga sahaja.

Tapi beberapa hari lepas semasa aku sedang tekun membuang daun pada pokok anggur aku, jiran yang paling hampir dengan rumah aku menegur aku. 'Ini pokok kacang ka?' tanya dia.
Adess penat. Selama ni dia ingat aku ni duk tanam pokok kacang apakah?

Monday, May 2, 2011

Sayur manis rebung





Ini sayur masak semalam. Hari ini baru buat entry kat blog. Hehe..
Aku suka sangat makan sayur rebung. Besa la. Orang Kedah utara sempadan Perlis yang lama-lama kalau tak minat sayur rebung tu, entahlah... Sayur rebung biasanya kena ada
bersekali dengan air asam, picit cabai melaka aka cili api.

Paling aku ingat sayur rebung ialah pada isteri pak sedara sepupu aku. Dia kuat bercerita pasal sayur rebung dan pernah juga aku tengok dia kutip banyak2 rebung dari hutan dan simpan dalam tempayan besar untuk dijadikan jeruk.

Aku kenal rebung buluh betung sejak dah dewasa. Rebung bukit ini saiznya kecil2 dan rasanya manis. Lebih sedap dari rebung madu yang banyak dijual sekarang ni.

Sekali tu pernah aku ikut dia pergi tengok projek tanaman tembikai dia kat jalan Changloon. Dia kata orang masuk hutan cukup bawa bekal garam sahaja. Maksudnya periuk kecuali dan beras dah sedia ada kat dangau dia la. Dangau tu saiz dia kecik siket dari bangsal lah. Kata dia makanan boleh dikutip dari sekeliling dangau sahaja. Cuma dia tak cakap, 'Kita pergi camping ya anak anak?' He he

Cara-cara masak sayur rebung:
Ricik rebung nipis2, rebus hingga mendidih. Tukar air jika masih ada rasa pahit. Jika pahit tidak berkurang, tambah sedikit gula. Kemudian masukkan daun2 seperti bayam pasir, daun cekur manis, terung pipit dan daun leletup. Tambah garam dan sedikit belacan. Resepi aku tak masukkan daun leletup sebab jarang nak jumpa orang juai daun leletup!

Sunday, May 1, 2011

Kuih koci beras pulut hitam



Sejak kecik aku tak pernah minat pada kuih koci. Koci. Aku pikir bunyinya sama dengan perkataan sekoci iaitu kapal kecil atau perahu kecil potongan Eropah. Atau sekoci tu tempat gelendong benang yang di bawah jarum pada mesin jahit! Lagi pun koci dengan kuaci tu buat aku keliru...

Lagi pun teka teki di luar tepung di dalam inti, makanan orang tak ada gigi tu lagi buat aku pikir ia adalah makanan khas untuk orang orang tua sahaja.

Bila kakak angkat aku yang dekat Bentong tu jamu aku makan kuih koci, baru aku rasa kuih koci tu sedap. Dia bagi sekali resepinya bila aku berminat nak cuba membuatnya.

Baru2 ini seorang kawan dari tempat kerja aku yang lama datang ke rumah. Dia kembalikan memoir kuih koci pada aku. Katanya aku pernah masak kuih koci dan jamu depa semua lepas kena cabar dengan seorang rakan sekerja lelaki. Ah! Ada pulak macam tu. Tapi, betul lah kut. Aku yang terlupa.

Resepi kuih koci beras pulut hitam ni aku suka sebab aku minat pada aroma yang ada pada beras pulut hitam. Ada orang yang buat kuih koci pulut hitam menggunakan tepung pulut hitam.

1 kampit tepung pulut
1 biji kelapa
1 cawan beras pulut hitam
garam

Ambil santan dari 1 biji kelapa
Jerangkan separuh santan yang pekat hingga hampir menjadi minyak.
Cedukkan kepala santan (santan pekat) untuk dijadikan pengguli semasa membentuk kuih koci di atas daun pisang.
Beras pulut hitam di basuh, di biarkan kering kemudian diblender menjadi tepung pulut hitam.
Tepung pulut, tepung pulut hitam yang diblender tadi dicampurkan dengan santan dan sedikit garam.
Bentukkan adunan bulat2 dan masukkan inti kelapa ditengah2nya dan balut dengan daun pisang.
Kukuskan seperti biasa.

Inti
Kelapa masak yang muda dimasak bersama gula melaka atau gula kabung yang dicampur sedikit air dan masak agak2 hampir kering. Masukkan sekali potongan daun pandan.
(Aku lupa masukkan daun pandan, jadi aku letakkan daun pandan dalam periuk pengukus semasa mengukus kuih ini)

Pembetulan~21/10/2011
~400gm beras pulut hitam tu aku agak2 sahaja sebab lebih 20 tahun lepas, resepinya ialah 40 sen beras pulut hitam
~Santan pekat yang dimasak diletakkan sedikit ke dalam daun pisang bersama2 dengan adunan yang sudah dimasukkan inti.