Followers

Friday, December 28, 2012

Ketupat sotong

Salam
Hari ini aku mencuba masak ketupat sotong. Makanan ni tak ada kat tempat aku. Jadi inilah pertamakali aku merasa keenakan ketupat sotong. Emm sedap.
Aku cari resepinya kat internet. Yang kelantan punya ia masukkan gula keret (manisan) dan daun pandan. Yang  terengganu punya ia masukkan halba, halia dan bawang merah. Tengah duk memasaknya separuh jalan tadi aku terjumpa pula dengan resepi yang campurkan sekali resepi kelantan dan terengganu.
Wah. Ini sudah bagus. Why not. Lagi baik aku buat seperti yang ini. TQ Nurul Aina. Sedapnya rasa ketupat sotong!


 

Thursday, December 20, 2012

Sulam Tapak Itik


Sulam tapak itik. Pelik tak? Hu hu. Aku nak sebut pun rasa was-was. Tapi gitulah yang disebut oleh mak sedara aku. Dia ajar sulam ni pada aku di sekitar tahun 70an dulu. Puas dah aku google. Tak jumpa pun. Mungkin di tempat lain, lain pula ianya disebut orang.


Ini percubaan aku pertamakali selepas dah lama ingat2 lupa bagaimana cara nak membuatnya. Entah betul entah tidak. Tak berapa nak cantik. Jarang2 jer jadinya. Yang dah aku search, cuma terjumpa dengan yang ini dan yang sewaktu dengannya. Sulam sisir.

Bila di tempat kerja dan tanya kat kawan aku tu, rupanya dia pun tau apa itu tapak itik . Pernah dia diajar oleh gurunya masa tahun 70an dulu juga. Guru yang mengajar subjek Sains Rumah tangga. Wah, cik gu dia ni sangat berdedikasi rupanya. Sengaja nak menurunkan ilmu yang unik ni pada anak2 muridnya. Sangat unik sebab jumlahnya yang tak banyak unit. Kalo tak, tentu aku dah jumpanya kat google search.

Percubaan aku dengan menggunakan benang yang selalu digunakan untuk mengait. Yang sebelah kiri menggunakan jarum satu. Yang di sebelah kanan menggunakan  dua jarum. Aku ingat2 lupa. Rasanya yang mak sedara aku ajar tu menggunakan dua jarum.
   

Yang ini aku cuba menggunakan benang berbuku yang digunakan pada mesin jahit yang boleh menjahit sulam. Benang ni nampak cantik dan agak berkilat. Tapi aku tak boleh teruskannya. Ia halus dan licin. Kena dilipat menjadi dua lembar. Mudah pula ia kusut pada aku. Kusut2 ni buat aku hilang konsentrasi lah....


Benang hijau di sebelah kiri tu pun aku gunakan benang untuk mesin jahit sulam. Yang biru sebelah kanan tu gunakan benang lipat a.k.a benang DMC. Aku minta kawan aku jahitkan untuk aku. Ginilah paten yang diajar oleh sifunya. Gunakan jarum satu. Sulam balik kirikanan. Dia kata kalau masih ada kat rumahnya, dia akan tunjukkan kain saprah yang pernah dijahitnya sebelum2 ini kat aku.
Aneh juga. Kawan aku ni dulu bersekolah kat sempadan negeri Perak. Dia tinggal kat Selama Kedah. Gurunya tu kaum Cina. Aku pula dengan mak sedara aku tinggal kat sempadan negeri Perlis. Kalau ingat nanti aku nak tanya kat mak sedara aku tu dia belajar dari mana.


Untuk setiap kelopak bunga, mulakan dengan membentuk tiang kelopaknya dan matikan dengan sebatang jarum dan benang di hujungnya. Kemudian sulam balik kiri kanan hingga habis.

Rajah permulaan aku melakar kelopak bunganya. Testing. Testing. Mulakan dengan benang yang warnanya lebih lembut supaya mata aku tak rasa penat sangat. hu hu.

Aku dah jumpa sulaman tapak itik kat sini: kamal kadai 
Yang ini lagi cantik dengan maniknya sekali: beaded kamal kadai 


Demam mee bandung belum berakhir hu hu

Pelik. Ajaib.Tak ada aku buat banyak posting pasal memasak mee sebelum ini. Tapi bila betul2 datang selera nak memakan mee yang dah lama aku idam2kan sebelum ini, maka  aku pun mencuba lagi resepi ini untuk kedua kalinya. Tak apalah. Kalau lain kali aku nak memasaknya semula, bolehlah aku rujuk balik kat sini.

Bahan2
mee kuning
kicap, sos cili (cap jagung) boleh tambah sos tiram jika suka
cili kering (blender atau ditumbuk lumat)
sotong
udang (separuh untuk dimesin separuh lagi  dibuang kulit dan masukkan dlm kuah)
kentang (rebus, blender masukkan  dlm kuah)
tauhu (blender masukkan dlm kuah)
tomato (potong masukkan dlm kuah-menambah sedikit rasa masam)
kacang tanah goreng ditumbuk (tambah sedikit rasa lemak)
sawi,
limau nipis (untuk diperah ke dalam mee)
daun sup, cili besar, bawang goreng, gula, garam, perisa.
Telur ayam (untuk dipecah masuk ke dalam kuah yang sedang menggelegak)

Resepi aku kali ni mudah siket. Ofkos la. Pasaraya kecik kat rumah aku tu tak ada jual daging segar. Aku gunakan sotong dan udang sahaja.
Tumiskan bawang. Masukkan cili kisar. Biar hingga masak.Tambah kicap dan sos cili. Masukkan udang, kentang dan tauhu yang diblender. Masukkan udang, sotong dan kacang tanah . Masukkan tomato. Bila mendidih, masukkan sawi.Tambah garam, sedikit gula dan perisa. Sesuaikan rasanya.
Untuk menghidang
Celur mee kuning. Basuh dan toskan dengan air sejuk.
Masukkan mee ke dalam pinggan. Panaskan kuah hingga menggelegak, masukkan sebiji telur ayam. Tutup sekejap supaya telur ayam cepat masak. Curahkan kuah yang panas ke atas mee. Hiaskan dengan  daun sup/daun bawang, cili besar potong dan bawang goreng. Perah asam limau jika suka.

Aku panaskan agak2 sepinggan kuah mee ini ke dalam kuali supaya telur ayam ini tidak pecah bertebar  merata2.
Anak pempuan aku komen kalau mak letak banyak lagi ayam dan daging, tentu rasanya lebih sedap. Dah sah dah selera dia tak sama dengan aku. Anak aku ni la ni tengah duk minat dengan selera mee kungfunya. Aku pun angkat ibujari  dengan rasa mee kung fu. Sedap. Pada aku lepas makan mee kungfu, (order kat restoran) datanglah rasa 'sindrom restoran cina' (betui kot istilah aku ni). Keinginan untuk meminum lebih banyak air. Dikatakan kandungan monosodium glumate yang tinggi itulah yang menyebabkan kita rasa dahaga. Meminum banyak air itu adalah untuk menutralkan kembali kandungan garam yang tiggi di dalam tubuh.

Saturday, December 8, 2012

Hamparan dari manik

Assalamualaikum
Aku masih lagi menyimpan sebungkus manik. Manik murah berbentuk seperti paip pvp seperti yang aku ceritakan pada post aku yang lepas. Tak tahu nak dibuat apa dah dengannya. Minat jahit manik yang betul2 membara bukan ada sangat pada aku. Hangat hangat tahi ayam adalah. Aku hanya suka2 mencuba meneroka teknik menjahit manik yang agak menarik pada pemerhatian aku sahaja.



Lama2 akhirnya aku teringat pada corak jahitan manik yang pernah aku buat sebelum ni. Apa kata jika aku habiskan manik aku yang masih tinggal tu dengan corak ini sahaja?


Ini lah hasilnya yang aku dapat. Jika diperhatikan bebetul, aku kena ubahsuai siket dari corak sebenar yang kat dalam video yang kat atas tu. Ini adalah kerana saiz manik kecil yang aku gunakan tu tidaklah berbentuk bulat betul2. Saiznya agak panjang sedikit dan tidaklah betul2 bulat.

Aku siapkannya menjadi hamparan kecil untuk menutup oven ini. Oven comel  yang diberikan  anak perempuan aku. Aku belum ada masa lagi untuk memberi tumpuan membaking sebarang masakan menggunakan oven ini... :)

Mee bandum yang nostalgia

Assalamualaikum

Aku selalu terindukan pada rasa mee bandung yang selalu aku makan masa aku kecik2 kat tempat kelahiran di kampung aku dulu. Waktu tu kalau tak silap harga mee bandung sepinggan dalam lingkungan seringgit dua kupang atau seringgit enam kupang sahaja. Aku tak berapa ingat dengan pasti. Cuma rasa sedapnya tak dapat lagi aku nikmati sehingga hari ini. Namanya mee bandung barangkali, tapi oleh sebutan orang2 kampung aku bunyinya seakan-akan mee bandum. Hilang 'g' nya.

Pencarian aku untuk  rasa mee ini berakhir kat blog periuk tanah. Ini kerana seingat aku, mee yang aku rasa sedap sangat masa kecik2 dulu tu antaranya mengandungi sayur sawi, tomato, daun sup dan daun bawang hiris, bawang goreng, tauhu, sedikit daging, sotong dan yang tak boleh lupa ialah sebiji telur ayam yang dipecahkan masuk ke dalam kuahnya yang sedang panas2. Kuahnya tidak pekat tapi mengandungi rasa sedikit pedas, manis dan masam perahan limau nipis. Tiada campuran sayur lain yang cacamarba. Tak ada daging ayam pada rasa mee bandum yang asli. Zaman dulu tu rasanya belum ada lagi orang buat projek ternak ayam daging macam sekarang ni. Ayam yang dibela kat kawasan kampung keliling rumah tu  akan hanya disembelih pada waktu2 tertentu yang istimewa sahaja.

Terima kasih pada Kak An yang sudi berkongsi resepi mee abahnya untuk dikongsi bersama-sama. Katanya resepi ini adalah turun temurun dari abahnya iaitu ayah mertuanya sendiri. Terima kasih sekali lagi...

Friday, December 7, 2012

Air belimbing dari belimbing rebus

Assalamualaikum
Aku biasa mendengar cerita sedapnya air dari air belimbing rebus dipatah2kan cili api dan di makan cicah bersama ikan tawar. Ikan tawar biasanya ialah  ikan sungai yang dibakar menggunakan bara api. Beberapa hari yang lepas aku telah mencubanya. Woww! Memang sedap dan menyelerakan. Tak ada pun ikan tawar bakar. Aku sulamkannya sahaja dengan ikan goreng yang digoreng sekejap dan tidaklah terlalu garing masaknya. Hish! Bercerita ni pun dah terliur rasanya.
Cerita aku mengenai sambal hitam belimbing ada kat sini.

Dah nak habis makan, baru aku teringat nak snap gambar. Dah nak kering air belimbing bercampur dengan cili api ni. Aku ulamkan dengan terung belanda. Kalau kat kampung arwah mak mertua aku tentunya dah berulamkan buah petai.
3 bulan lepas aku ke kampung di pendalaman Kuala Lipis ni. Yang tinggal kat rumah pusaka tu hanyalah kakak biras aku dan anak2nya yang dah bekerja. Anak2nya pun balik ke rumah bila hari dah jauh2 malam. Kakak biras aku yang sorang lagi  berjiran dengannya pun sama. Anak dia pun bekerja di luar daerah. Lama dah aku dengar depa ni mengeluh pasal kampung halaman depa yang dah tak ber orang. Tapi la ni keadaan dah makin kronik. Banyak rumah pusaka yang tinggal terbiar dan rosak 'makan diri.'

Ada setangkai petai dengan beberapa keping  papan buah petai yang segar di depan kami semasa kami sedang bersembang tu. Kakak biras aku tu bercerita yang dia dapatkan buah petai tu dengan pertolongan kera. Kera? Sambil gelak2 dia bercerita bila dia nampak kera sedang memakan buah petai, dia kejutkan kera tu dengan menyergahnya. Bila terkejut, kera pun melarikan diri. Sambil berlari kera itu tidak  membawa bersamanya setangkai petai yang sedang dimakannya lalu ia pun jatuhlah ke tanah. Geniuslah akak  aku yang sorang ni. Tanam pokok apa pun sudah tidak menjadi, semuanya kena beli, kata dia. Kera dan tupai banyak. Buka pintu rumah, babi hutan menjelma di depan mata!

 
Ini gambar permulaan aku belajar memasak belimbing rebus. Bunyinya memanglah leceh sebab masa memasaknya perlu 4 ke 5 jam. Tapi sebenarnya dengan menggunakan api yang perlahan, tak adalah susah sangat. Pasang aja api dengan perlahan dan tingalkannya bolehlah buat lain2 aktiviti dengan menjenguknya sekali sekala. Aku letak garam kat dalam periuk atas ni  banyak sangat. Kata kakak biras aku tu garam biarlah terasa masinnya, buahnya jadi elok, 'kejun' jer kata dia. Aku tak tanya dia la apa maksud istilah kejun tu. Agaknya macam kejur kut. Terbujur  macam objek yang dah kaku. Pernah aku masak belimbing ni dan kurangkan garamnya. Belimbing yang kurang garam aku tu jadi hancur dan lembik tidak berbentuk buah belimbing lagi.

Herba ajaib penyembuh segala jenis penyakit

Assalamualaikum
Sudah lama aku tahu tentang khasiat penyembuh habatussauda atau jintan hitam ini. Tapi rasa culas dan tak berapa nak kisah membuatkan aku mengambilnya dalam sukatan ikut suka hati aku. Curah sejemput kat atas tapak tangan dan menelannya dengan seteguk air. Rasanya kesan yang aku dapat ialah panasnya rasa suhu badan dengan pengambilan yang tidak mengikut panduan yang betul.
Oleh rasa was-wasnya aku untuk mengambil sebarang produk kesihatan  yang banyak berada di pasaran pada masa ini, aku rasa lebih baik aku kembali kepada penyembuhan secara semulajadi.

Artikel yang panjang lebar mengenai kemujaraban jintan hitam ini bolehlah klik dan dapatkannya kat sini.  Rasullullah s.a.w. ada menyebut mengenai kelebihan habatussauda iaitu sabdanya 'Hendaklah kamu memakan habatussauda kerana ia mengandungi ubat untuk segala jenis penyakit melainkan mati'. Riwayat at-Tirmizi.
by google

Aku  letakkan sebotol jintan hitam ini kat dalam laci meja kat tempat kerja aku.Kat tempat kerja, aku ada masa untuk membilang 7 biji jintan yang bersaiz kecil ini sebelum menelannya. Selepas pengambilan 7biji jintan ini aku terasa badan aku kurang sihat dan ada rasa nak demam. Sepas makan ubat, demam pun hilang. Lama selepas hilang demam aku ambil lagi 7 biji jintan hitam ini untuk melihat reaksinya kali ke 2. Hasilnya sama. Aku  demam lagi. Selepas habis demam dan masuk kali yang ke 3 menelannya barulah normal. Aku tak demam lagi. Tapi rupanya cara yang betul  memakannya ialah pengambilan 7 biji sebelum tidur dan 7 biji lagi selepas bangun dari tidur.

Tuesday, November 27, 2012

Apa khabar epal ku

Hurmm...
Apa agaknya yang sudah berlaku pada pokok epal yang pernah aku ceritakan kat blog aku ni suatu ketika dulu? Masih sihatkah atau apa yang sudah terjadi di ketika dan saat ini?

Hemm. Inilah rupanya ia. Sejak kebelakangan ini, kesihatannya memuaskan. Beberapa minggu yang lepas aku boring juga dengan tumbuhan ini. Tiap2 hari lepas balik kerja aku kena melawatnya. Melurut pucuk daunnya yang masih muda untuk membuang entah parasit apa yang hari2 duk bertepek kat pucuk daunnya yang masih muda dan lembut. Lama2 pucuk itu pun menjadi kematu. Bila dah teruk kematunya aku pulas buang atau potongnya menggunakan guntng. Dah kerap kena potong, inilah yang tinggal. Aku dah ukur ketinggiannya petang semalam. Tingginya baru setengah meter atau lebihkurang 20 inci. Aku rasa umurnya pun dalam lingkungan satu tahun. 
 
by google

Ni la rupa kutu daun yang rajin melekat kat pucuk epal aku. Yang atas ni gambar daun pokok cabai. Aku kidnap gambar ni dari blog sapa dah tak ingat. Terimakasih ya tuan blog ni.
Yang macam ni pun aku dah selalu kena. Siram dengan racun sudah. Dengan air basuh beras pun. Dengan air bercampur bawang putih yang dilumatkan pun sudah. Menanam pokok bunga tahi ayam berhampiran dengan pokok cabai pun sudah. Sudahnya pokok cabai aku tetap punah jua!

Buat masa la ni aku tukarkan  sahaja kedudukan pokok epal dalam polibeg ini  berpindah randah. Dikatakan cara ini dapat mengelirukan serangga perosak sebelum ia dapat mencari dan mengecam kedudukan mangsanya di tempat yang baru. Pokok ini masih kecil. Tak tahu lah kalau dah semakin membesar nanti janganlah pulak aku kena pasang roda untuk melarikannya dari terus digangu gugat oleh pemangsa yang tak diundang ini.

Monday, November 26, 2012

Cara yang betul memangkas anggur

Salam
Sebelum ini aku pernah buat entri pasal aku menanam pokok anggur. Peristiwa dah lama, jadi aku pun dah lupa. Aku selalu hairan macamanalah pada suatu masa dulu tu pokok anggur aku tu rajin berbuah. Agak lebat juga buahnya tu. Silap bajakah? Silap airnyakah. Atau kemalasan aku menggembur perdu pokoknya kah?
Aku macam dah nak berputus asa. Rasa macam dah hilang mood aku nak melayan pokok anggur ni. Memanglah buahnya tidaklah semanis mana. Tak bolehlah nak disamakan dengan yang dibeli kat pasaraya tu. Tapi bolehlah kalau setakat nak melayan hobi rajin berkebun sambil mengeluarkan peluh tu.  
Dapat tengok hasilnya seperti yang kat atas ni pun dah rasa seronok. Bukan apa. Seronok tengok sahaja. Jamu mata! He he.
Awal November lepas terlintas dihati aku nak memangkas ranting anggur lagi. Walaupun aku yakin tak akan ada hasilnya sebab yang pernah aku terbaca panduannya, pemangkasan pada bulan Disember tak akan menghasilkan apa2.
Kali ni aku tinggalkan ranting yang sedang muda remaja seperti yang kat atas ni. Logiknya pada aku ranting yang sedang muda boleh menghasilkan bunga. Sebelum2  ni aku main pangkas habis semuanya meninggalkan ranting yang matang berwarna gelap. Dogol habis selepas kena pangkas. Kudung sia-sia saja jadinya. Bunga pun tak timbul2.  
Nilah antara rupa semak rumpun anggur kat rumah aku. Pada aku anggur ni sejenis tanaman yang mudah hidup dan amat cepat membiak. Macam cerita pokok kacang Awang Kenit yang pernah aku baca bukunya zaman aku kecik2 dulu. Siang tanam, malam sat lagi pokok kacang pun naik tinggi menjulang ke langit angkasa. Malam itu Awang kenit pun memanjat melalui pokok kacangnya menemui dunia impiannya. Ha ha. Aku merapu lagi...  Tapi kecik2 dulu memang aku konfius yang amat sangat dengan siri kisah2 dongeng yang macam ni!
Tak. Kisah Awang Kenit bukan ending entri aku kali ini. Rasa aku anggur ni tanaman yang boleh berbuah sepanjang tahun.  Sebab itulah anggur kat Ladang Tasik Beris Sik boleh dilawati dan dapat kita tengok buahnya sentiasa banyak bergugus2 sentiasa ada. Geram tengok!!.

Monday, November 19, 2012

Homemade sardin tuna

Bahan2
1 kilo ikan tongkol (Kayu/tuna/mamu/aya)
3 labu bawang besar
15 tangkai cili kering
bawang merah dan bawang putih
gula, garam, asam keping dan sedikit perisa ajinomoto
cili api jika suka pedas

1. Bersihkan ikan tongkol.
2. Rebus ikan bersama garam dan asam keping
3. Asingkan isi dari tulang ikan.
4. Tumis cili kering yang sudah dikisar bersama bawang. Masak seperti membuat sambal ikan.

Tentu ada yang pernah makan sardin tuna kan? Bekasnya kecik kenit jer. Dulu pernah aku cuba buat sekali. Sekali ni aku buat lebih siket. Asingkan dalam bekas dan simpan dalam freezer. Boleh makan bila2 masa dengan roti atau jadikan lauk gitu sahaja makan dengan nasi panas.

Sardin tuna yang aku masak hari tu. Sedap sungguh. Awat nak puji diri sendiri? He he he. Aku dapat sesuaikannya dengan citarasa sendiri kot. Dapat pula ikan segar dari pasar. Aku berdiri lama depan tong ikan tu. Agaknya penjual ikan tu perasan aku buat muka tak puas hati. Aku tengah berfikir sebenarnya. Awat ikan yang terbungkang besar harganya sekilo RM7 tapi yang kecik saiznya sekilo RM8. Dengan senyum penjual ikan tu tunjuk sambil cakap yang ni ikan isi putih, rasanya lebih sedap. Ooouhh.. patut la pun.. Memang isi ikan tongkol putih ni tak sekeras seperti ikan tongkol yang kulitnya lebih gelap. Entri aku pasal ikan tongkol sebelum ni ada kat sini. 

Yup! Sebetulnya  ikan tongkol tu aku tak rebus bersahaja dengan asam dan garam. Isinya diangkat buat sambal tapi bahagian kepalanya ada dalam periuk dijadikan masak singgang!


Sunday, November 18, 2012

Manik bintang~Penyudah tepi kain tudung.

Salam..
Post lagi gambar pasal manik..
Kali ni terjumpa dengan jahitan manik bentuk bintang ni dengan secara tak sengaja kat you-tube.
Lansung Mr Google introduce kat aku ni, sebab rajin sangat kot aku duk klik2 kat video manik...

Yang ni pun sama. Susah juga nak ikut pada peringkat awal walau pun pada mulanya nampak kacang jer...!!

Inilah dia hasil lima bintang yang aku dapat. Bintang enam tak boleh dibuat main woohh.. Anak lelaki aku tu alergik sangat dengan logo berbintang pecah enam tuh!!!

Tuudiaa aihh... tak kisahlah. Asal ada siket kilau manik kecik2 kat hujung kain tudung pun jadilah! Bak kata Ustaz Azhar Idrus, orang puang ni kalo tak dak bunga sulam kat hujung lengan baju dia, dia tak reti nak angkat tangan taip komputer... he he he..

Video ~ jahit manik 3D (2)

Alhamdulillah dan Assalamualaikum untuk semua..
Hari ini datang pulak mood aku nak berentri kat blog aku nih... Aku tak lupa yang aku ada blog. Aku pun ada banyak idea nak bercerita. Tapi ada masa aku rasa nak kena tapis juga apa yang aku nak share kat sini. Bukannya apa... Aku ni kuat juga melalut.. hu hu bu.
Rasa kureng juga dah lani nak merapu rapu kat sini macam aku berblog pada peringkat awal dulu...

Sekarang ni aku ada lebih masa nak tumpukan pada hobi aku. Ni lah nak update aku punya jahitan manik yang terkini. Apa orang kata? Manik 3D? Apa2lah. Aku bukannya reti sangat. Tak biasa pun masuk kelas/bengkel menjahit manik. Tapi masih ada hati nak mencuba2 buat benda2 yang agak rumit tu.


Mula2 tengok dan belajar dari video ni memang aku rasa agak keliru. Nampak macam mudah.Tapi akhirnya pening jua... Susah nak buat!. Tapi bila dah rilex, ambik masa lebih siket dan cuba buat dalam keadaan yang tenang, insyaAllah, pelan2 akhirnya aku dapat juga belajar step ini. Inilah nak aku kongsikan kat sini. Pada sesiapa yng berminat, bolehlah cuba buat..   :)

Tak adalah cantik manapun jahitan manik aku ni.. He he. Tumpang lalu buat promosi kat sini jer...

Wednesday, October 31, 2012

Nasi Arab yang simple dan sedap

Bahan2
500gm daging kambing atau lembu
3 cawan beras (basuh dan toskan)

5 biji pelaga
5 biji lada hitam
5 kuntum cengkih
3 batang kayu manis
1.5sm halia-mayang halus
~garam dimasukkan lepas daging empuk
(tumis rempah di atas bersama daging > masukkan beras)       

1 sudu teh serbuk pelaga*
1 sudu teh serbuk cengkih*
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis*
*(rempah kisar untuk merebus daging)

Bawang besar atau bawang merah-goreng untuk hiasan.

Cara
1.  Rebus daging dengan rempah kisar hingga empuk betul2.
2.  Angkat daging, toskan.
3.  Goreng daging bersama rempah hingga kekuningan.
4.  Masuk beras dan goreng perlahan.
5.  Masukkan stok daging (air rebusan) Biar hingga nasi masak. Perlahankan api. Tunggu 15 minit. Tabur bawang goreng sebagai hiasan.


Sejak kebelakangan ni aku minat betul makan nasi Arab. Kat Alor Setar ni nasi Arab yang kami sekeluarga selalu pilih ialah kat Restoran Mekah. Aku minat nasi Arab sebab ianya seakan2 dengan Nasi Ayam. Gaya macam makan ayam rebus dan supnya tanpa nampak banyak sangat kandungan kolesterolnya. Aku suka pilih menu lauk kambing.

Oleh sebab minat yang amat mendalam, aku tercari-cari manalah nak mencarinya resepi nasi Arab ni. Hinggalah akhirnya aku teringat dengan satu resepi lama yang pernah aku cuba dulu. Resepi sebenarnya bernama "Nasi Kabuli". Jadi aku sepatutnya letak tajuk entri kat atas tu sebagai nasi kabuli sahaja. Tapi aku suka glamoor, jadi aku letaknya dengan nama Nasi Arab. Keh3...

Hasilnya berbaloilah pada aku sebab rupa dah ada, rasa dan baunya pun dah hampir2 sama dahh.. Cuma aku gunakan berasmati, tambah  sedikit bahan perisa ajinomoto, minyak sapi dan serbuk kunyit. Bahan2 rempahnya aku tambahkan sedikit lagi dari jumlahnya yang di atas tu.
Untuk sukatan air, aku rebuskan ayam sama dengan sukatan berapa cawan beras yang digunakan. Tambahkan air untuk memasak nasi jika sukatan air rebusan daging tidak mencukupi.
Contoh :- 3 cawan beras = 4 cawan air -untuk memasak nasi.
Dan aku tidak bertanak nasi ini tetapi mengukusnya. (Sukatan beras dan air tetap sama seperti masak nasi biasa).

Inilah saja bahan rempah yang digunakan. Bagi aku ianya simple sajalah. Ikut jam >  kulit kayu manis, pelaga, cengkih dan lada hitam. Kiri sekali ialah halia yang dimayang.

Rebus daging dengan 3 bahan kisar iaitu pelaga, cengkih dan kayu manis.
Semasa menumis, gunakan kesemua bahan di atas iaitu  kayu manis, pelaga, cengkih, lada hitam dan halia yang dimayang.

Kuih kertas

Bahan2
1 cawan atau lebih sedikit kelapa parut (yang muda)
3/4 cawan tepung pulut
sedikt garam
gula halus 

1. Campurkan kelapa parut, tepung pulut dan sedikit garam hingga sebati.
2. Bulat2kan adunan dan bakar dengan api perlahan hingga masak.
3. Taburkan gula halus pada kuih yang sudah masak.

Aku belum pernah dengar nama atau makan kuih yang bernama kuih kertas. Kuih kertas? Ermmm... dengar bunyinya macam sedap jer..

Aku lani ada kawan baru. Kawan sekerja maksud aku. Aku dah berpindah dari tempat kerja yang dulu. Takdirnya sudah begitu. 22 tahun yang lepas, aku dan kawan aku ni dah pernah kerja di tempat kami yang baru ni. Setelah aku berpindah pada kali yang ke 4 dan dia berpindah tempat kerja kali yang ke 2, kami akhirnya ditemukan balik semula di sini. Jodoh kami kuat. Ha ha.! Harap2 biarlah pencen di sini saja.

Satu hari dalam duk pot-pet pot-pet tu kawan aku ni tanya aku pernah dengar tak nama kuih kertas? Dia kata rasanya macam rasa kuih dangai. Bila google, tak jumpa pula kuih kertas, yang ada kuih getas. Kuih getas tu bergoreng, yang kawan aku ni cakap kuih tu tak berminyak.

Kawan aku tu cakap, puas dia bertanya dengan sipenjual kuih tu, sampai sudah dia 'tak mau habaq'. Tak puas hati, dia balik pi cuba buat sendiri kat rumah. Katanya masuk kali yang ketiga barulah eksperimen dia tu berjaya. Hu hu. Aku pun apalagi, teruja teruih. Balik rumah cubalah juga. Orait sedap. Makanan yang berasaskan kelapa dan kacang minat aku lah tu. Selera kampunglah katakan..
Tapi kuih yang aku buat tu separuhnya bergaul dengan gula halus, yang separuh lagi tu aku gaulkan sekali gulanya ke dalam adunan tepung dan kelapa.

Istimewanya dangai aku ni dibuat dari tepung pulut yang aku buat sendiri. Tumbuk dengan lesung! Jadi hasilan kuih aku tu agak lempab siketlah, ia taklah kering sangat.
Sekali tu terdetik lah di hati aku nak tengok macamanalah  resepi kuih dangai itu dibuat orang. Ohh.. rupanya lebih kuranglah. Lebih kurang serupalah dengan  yang aku buat tu. Istimewa pada sesiapa yang tak ada acuan besi kuih  dangai tu, bolehlah tepeknya kat kuali macam yang aku buat ni.

kuih dangai by google

Thursday, October 11, 2012

Video ~ teknik jahit manik 3D (1)

Salam.
Ada apa dengan tajuk entri aku pada kali ini. ???
Kali ni sesungguhnya aku nak tunjukkan pada sesapa saja yang berminat menjahit manik . Hari ini dan kelmarin aku rasa seronok sangat.
Aku terjumpa dengan bunga manik jenis ini kat FB. Terima kasih pada tuan punya design ni sebab sudi kongsi kecantikan seni menjahit manik kat ruang maya ini. Maaf aku pinta sebab aku dah ciplak seni sulaman anda. Nak buat lagu mana. Cantik sangat hasil sulaman maniknya tu buat aku cukup tergoda...

Nak dapatkan kelopak bunga ni pun bukannya senang pada aku. Berpinar-pinar mata aku. Tak tau berapa kali ambik masa rehatkan  minda yang letih memikirkannya.  

Dua kuntum bunga tu sajalah yang jadi utama dan penting pada aku. Manik warna cerah selebihnya yang aku tambah tu sengaja touch up jer.. hehe


 Ok. Dipendekkan cerita aku sebenarnya dapat asas menjahit manik kelopak bunganya tu dari youtube yang kat atas ni.
Ermm... sesapa yang berminat bolehlah kalau nak cuba. Perhatikan pada 06:40. Maksud aku macamana cara nak susun manik jenis ini. Tapi kalau ada sesapa yang terlanjur berminat nak khatam habis macam yang dibuat kat dalam youtube ni, lagilah baik. Aku salute you!!

Wednesday, October 3, 2012

Pulut panggang hitam

Bahan2
1 cawan beras pulut susu
1 cawan beras pulut hitam (rebus hampir lembut)
santan dari 1 biji kelapa
sedikit garam
daun pisang dan lidi (penyemat daun pisang)

Rebus beras pulut hitam hingga ianya hampir lembut dan kering air rebusannya.
Campurkan beras pulut hitam yang direbus tadi bersama dengan beras pulut susu yang sudah dibersihkan dan sejat airnya
Masukkan beras pulut hitam bercampur beras pulut susu + santan + garam = kukuskan dalam loyang.
Anggaran santan ialah menutupi/melitupi keseluruhan permukaan pulut di dalam loyang yang hendak di kukus itu.
Kukuslah hingga masak. Bila pulut rasa lembut, tandanya ia sudah cukup masak. 


Aku letak video ketupat daun pandan ini kat sini sebab hajat aku yang awal ialah nak buat ketupat jenis yang inilah. Mesti ketupat daun pandan ni sedap dan berbau wangi. Tapi oleh kerana aku tak ada bekalan daun pandan, itu yang aku kukuskan pulut aku sehingga masak terus sahaja di dalam loyang

Jika nak buat ketupat, pulut yang dimasak untuk balut dengan daun (daun pandan/daun palas/daun kuar) untuk dibuat ketupat, tak perlulah cukup masak. Biarlah masaknya separuh masak sahaja.

Aku pun tak arif sangat pasal pulut panggang ni. Aku pernah tengoknya entah beberapa kali agaknya  pada zaman aku kecik2 dulu. Zaman orang masih gunakan kayu api untuk memasak. Lani tak pernah aku tengok dah pulut pesyen ni dijual orang. Tapi kata kawan aku, masih ada lagi ianya dijual orang kat pasar malam mana entah. Tak ingat dah aku.
Ini dianya aku nya pulut panggang. Create dan abadikannya kat sini!. Kut2 aku boleh jejak semula di kemudian hari, boleh rujuk balik. Mas'ilah orang pelupa macam aku ni kan...

Nampak sangatlah hasil nukilan aku ni cacat siket kan.. Pulut ni terlebih kembang! Tapi layan je lah. Sedap sungguh ianya pada selera aku pada hari tu. Macam orang mengidam pulak aku ni. Kena pulak hari tu menantu aku  bawa balek rendang  jamuan raya dari tempat kerjanya. Fuuhhh.. syahdu gila.. !
by google
Ok. Ini dia pulut panggang original yang dipanggang betul2 menggunakan kayu semanggang. Ada ke yang tak tahu apa tu semanggang? Ha ha. Ianya buluh yang dibelah dan di tengah2nya dikapit dengan pulut panggang. Bakar dengan api berbara. Ishh.! Renung gambar ni lama2 buat aku terliur ajerlah.

Thursday, August 30, 2012

Teknik Oya paling jelas




Langkah pada gambar ke 14 dan terakhir ini adalah bersamaan dengan hasil yang dibuat pada contoh benang yang berwarna pink seperti di bawah ini.


Hujung benang  pink sebelah  kananlah (gambar atas) yang disulamkan balik ke sebelah kiri  pada kelopak bunga benang yang berwarna putih di atas..
Assalamualaikum
Aku harap  masih ada lagi yang berminat dengan entri aku pasal cerita sulam Oya. Sudah lama aku nak publish gambar2 ini dekat blog aku.
Aku dapatkannya dari blog yang aku tak tau macamana aku nak baca isi cerita dalam blog itu. Memang menjadi satu kesalahan hakcipta aku copy paste gambar2  ini semua tanpa kebenaran situan punya blog. Jadi aku minta maaf dan pohon izin tuan punyanya di atas keterlanjuran aku ini.