Showing posts with label kari gulai dan masak lemak. Show all posts
Showing posts with label kari gulai dan masak lemak. Show all posts

Sunday, January 10, 2016

sayur bunga turi

Ini juga adalah antara sajian tengahari Jumaat lepas. Goreng sayur bunga turi. Orang kampung aku panggil bunga geti. Tak tahu pulak aku selama ini bunga geti boleh dimasak dibuat sayur. Sedap rasanya. 
Bunga geti ada dua warna setakat yang aku tahu. Satu yang jenis putih dan yang satu lagi merah. Kata abang aku yang bunga putih daunnya lebih elok dibuat masak sebab daunnya lebih panjang berbanding yang berbunga merah. Yang merah daunnya pendek nak ambik buat simpul pun agak payah nak lepas.... Katanya orang India lebih gemarkan daun ini tetapi masakan mereka tidak campur santan seperti sayur lemak masakan melayu..

Saturday, June 20, 2015

Rempah giling dan ikan jenahak

    Assalamualaikum...
Terdetik dihati dah lama tak makan gulai ikan rempah giling.
Bersihkan batu giling usang yang tersangat lama tidak digunakan. Tak sampai 10 minit usailah urusan menggiling. Bagus juga sebagai satu senaman ringan pada aku yang ambil banyak masa duduk terbenam di atas kerusi seharian di tempat kerja.. Berjasa juga batu giling aku ni..
Apa bezanya rempah giling dengan rempah serbuk berbagai jenama yang dijual tu? Sekiranya  rempah serbuk miliki nama yang berbagai, rempah basah batu giling juga punya aroma dan rasanya  yang tersendiri.  
Sukatan bahan untuk campuran rempah sila klik DI SINI.                                                                                                                                                                                                            

Tuesday, December 31, 2013

Rendang maman

Aku lama dah berminat nak buat rendang maman. Masalah nak dapatkan daun maman segar yang  buatkan  aku menangguhkan dulu rancangan aku tu. Beberapa hari lepas dapat pula daun maman dijual kat pasar. Sekilo RM6 rupanya harga daun maman yang belum dijerukkan. 



Yang aku tahu maman segar rasanya pahit. Ini pengalaman aku waktu memasak singgang maman. Tapi daun maman yang sudah dijerukkan bersama nasi sejuk pula rasanya masam.

Aku tawakkal aja ikut resepi rendang maman KAT SINI. Alhamdulillah memang sedap rasanya!.Aku suka. Ini adalah resepi tradisional.

Thursday, June 6, 2013

Rendang petai berdaging

Minggu lepas aku menghadiri jemputan kahwin kat kampung aku.  Menu yang dihidangkan agak berbeza dari katering yang biasa aku makan. Salah satu lauk yang aku rasa sangat tertarik nak mencubanya ialah sambal petai. Rupanya pun agak berbeza dari biasa. Kusam tidak menggamit selera. Hehe. Apa2 pun adalah dikira  rugi jika  tak menjamah sebarang menu petai yang dihidang di depan mata.

Bila dah makan, rupanya semua menu petang tu adalah indah rasa dari rupa. Sedap!.
Tentang petai ni buat aku teringat pada masakan yang pernah aku makan di suatu masa dahulu. Tapi di mana ya? Aku agak2 ni mesti idea mak sedara aku yang pernah aku pos pasal masakan gulai daun juaq
Nak tanya lebih lanjut pun dah tak sempat sebab waktu aku baru sampai ke majlis tu dia dah tergesa2 nak balik untuk menghadiri satu majlis kenduri di tempat lain pulak.
Balik rumah aku pun mencari bahan untuk cuba memasaknya.


5 keping petai (kikis kulitnya)
300 gm daging (potong kecil2)
serbuk gulai daging Babas
santan, kerisik, garam, sedikit gula dan aji
bawang merah, bawang putih,  halba, cengkih

Aku agak2  sahaja sukatan sebenar yang dah aku gunakan.
1. Tumis bawang bersama halba dan cengkih. Aku letak cengkih sebab selalu  nampak cengkih di masukkan ke dalam masakan ayam dan daging. Halba pula pernah dikatakan untuk cepat melembutkan daging dan ayam.

2. Bila bawang dah naik wangi masukkan rempah kari. Kemudian masukkan santan.
Masukkan daging. Kecilkan api. Ini dipanggil proses merenih. Daging yang dimasak menggunakan api yang kuat akan menjadi keras.

3.  Masukkan petai. Bila petai agak lembut masukkan kerisik diikuti dengan garam, gula, sepotong kecil asam keping dan aji.

4.  Sesuaikan rasanya dan dah sudah boleh dihidangkan.

Hasil yang aku buat ni taklah menepati rasa sebenar yang aku   makan kat tempat kenduri tu. Baru sipi2 aje. Bau dan rasanya hampir2 dah. Agaknya aku patut tambah cili kisar untuk tambah menyedapkan rasa. Sukatan petai pun agaknya nak lebih dari daging. Kalau terjumpa dengan mak sedara aku tu kena tanya resepi dia betul2 lah....

Friday, April 12, 2013

Pucuk labu bersama udang kering

Ini sayur pucuk labu aku beberapa minggu yang lepas. Rasanya sangat sedap. Sedap kat mana ? Entoh ler.. Manis agaknya. Kalo dah nama pun labu manis disebut orang, habis satu keturunan dengan buah dan pucuk2 daunnya sekalipun manis kalau dimasak dan dimakan...  Sebab tu ler aku nak fremkan gambarnya kat sini. .. : ) Cuma ambik gambar ni dah di petang hari. Sayur ni dah agak layu dan kurang bermaya siket.

Sayur pucuk labu aku yang mula2 aku buat dulu pun tak sesedap ini. Yang ni aku buat cara paling mudah. Jerangkan santan bersama bawang dan lain2. Cuma gantikan bilis dengan udang kering. Tambahkan beberapa ulas lada hitam yang ditumbuk halus.

Hari ini aku buat lagi sayur pucuk labu masak lemak putih. Ha ha.
Hujan yang turun buatkan banyak pucuk labu yang dapat aku kutip. Tapi sayang, rasanya sedikit berubah!.
Kenapa ya?

Aku masak gunakan buah kelapa yang dikukur sendiri. Buah kelapa ni dah  berapa minggu ya aku simpan kat rumah? Dah lah buah kelapa ni agak muda. Kulit sabutnya menunjukkan buahnya belum cukup tua. Sipenjual buah kelapa terpaksa jual juga kat aku sebab aku nakkan buah kelapa yang belum dimesin. Ada masa aku nak gunakan santan segar tapi tak ada masa untuk ke pasar di pagi hari.

Buah kelapa tua yang sabutnya berwarna matang dia tak nak jual pula kat aku. Aku tanya pasaipa??
Dia cakap yang tu kelapa mai dari Indonesia. Tak. Yang sebenarnya dia tak cakap buah kelapa. Kami orang Kedah cakap buah nyoq !
Aku tanya ada beza ka nyoq sini dengan nyoq Indonesia? Dia cakap ya.
Pasaipa lak berbeza? Dia cakap nyoq Indon tanam kat tanah gambut. Kalau kak masak, dapat tau la beza dia lagu mana, kata dia lagi.

Sebagai penutupnya aku tak nak la buat kesimpulan salahkan nyoq ke atau salahkan santan ke yang menyebabkan sayur pucuk labu aku tu kurang menyengat. Aku salahkan diri aku ajer lah. Mudah kan? .... Salahnya sebab aku belum cukup skill dalam bidang masakan... Hu hu hu.....  

Sunday, March 24, 2013

Masak lemak pucuk labu

 Bahan
Seikat pucuk labu - siang buang sedikit lapisan nipis pada sulur ranting pucuk labu.
Santan, bawang besar, bawang merah, sedikit halia, sejemput ikan bilis, garam dan perisa.

Masakkan santan bersama bawang, bilis dan halia. Bila santan mendidih, masukkan pucuk labu. Bila hampir masak masukkan garam dan sedikit perisa. Dah masak, masukkan pati santan semasa kuah tengah mendidih. Bila pati santan mula mendidih sekali lagi, angkat periuk dari api. Boleh dihidangkan.

Sejak ternampak masak lemak sayur pucuk labu kat blog Menu Ariezah Aris, aku  dah mengidam nak makan sayur manis masak lemak pucuk labu. Tapi penangguhan aku tu memakan masa yang agak lama sebab aku tak tau mana nak dapatkan pucuk daun labu. Aku jarang pergi pasar malam atau ke pekan sehari. Maka oleh kerana itu biji labu yang  buahnya aku buatkan sira labu, aku semaikan dalam pasu supaya ia tumbuh, dan aku nak merasa pucuknya pulak. He he. Gigih tak aku?
Oleh sebab aku dapat pucuknya beberapa tangkai sahaja, maka aku buatkan sayur ini dengan lebih berhati-hati. Aku masukkan bawang besar, bawang merah ikan bilis dan halia secukup rasa. Bukan apa. Bimbang terlebih dos. Ter over dose lenyap pulak perisa pucuk labu nan asli tuh...
Sedap ke? Ehemm. Sedaplah sayur manis  pada deria rasa orang kampung macam aku nih. :)

Sunday, March 3, 2013

Kari mungai kacang parpu

Bahan-bahan
3 biji buah mungai (kacang kelo)
semangkuk santan
15 ekor udang
2 sudu besar kacang parpu (kacang dhal)
serbuk kari
garam 
bawang merah dan bawang putih untuk menumis
Rebus kacang dal dengan air biasa sahaja sehingga empuk. Ketepikan.
Basuh dan kikis kulit luar buah mungai.  Potong buah anggaran 1-1 1/2 inci.
Tumis bawang merah dan bawang putih.
Bila sudah wangi, masukkan serbuk kari. Kacau sekejap masukkan santan.
Bila mendidih, masukkan kacang parpu dan buah mungai.
Akhir sekali masukkan udang. Jangan masak udang lama sangat, ia akan kecut dan isinya akan mengeras.
Sesuaikan garamnya. Jika suka letakkan secebis kecil asam keping. Tutup api bila sudah cukup masak.
Ini adalah cara memasak gulai/kari yang paling simple. Bahan2 asas sudah mencukupi.

Aku bukan peminat kari mungai nombor satu. Tapi masakan buah mungai  kali ni rasanya adalah  paling sedap pernah aku makan sebelum2 ini. Post masakan kari mungai aku sebelum ini ada KAT SINI.

Dua hari lepas kawan aku bawakan aku gulai buah mungai yang dia masak. Dia bercerita kacang parpu yang dia campurkan dalam gulainya tidak empuk sampai sudah. Jenuh dah tambah air rebusannya. Aku cakap dia dah terbeli kacang ketegag kut..
Dia kata agaknya dia sudah tersilap sebab dia masakkan kacang parpu ke dalam rempah kari. Masakan kari buah mungai aku sebelum ni tak terinagt aku nak campurkannya dengan kacang dal.
Baru aku teringat kaum India cukup minat dengan buah mungai. Oleh sebab mereka elakkan dari memakan daging lembu maka jenis2 kekacang adalah ganti sumber protein dalam diet mereka.

Petang semalam aku balik kampung. Banyak pokok mungai yang abang aku tanam. Aku nampak dia semaikan ranting pokok mungai yang dah besar menjadi dahan pokok. Dia biarkan saja ia biak dengan pertolongan air hujan. Sekarang aku tengok pokoknya sudah besar2 amat. Ya lah. Aku jarang balik kampung. Nampak2 aje pokok2 tu dah besau!
Abang aku cakap dia dapat benih pokok ni dari Penang. Buah yang kat atas ni aku ukur panjangnya 87cm. Tentu ada buahnya yang lain2 pernah mencecah semeter atau lebih sebab buah yang ini abang aku kata masih muda lagi.

Friday, May 4, 2012

Masak buah setul bersama udang

Assalamualaikum
Ini adalah percubaan aku kali kedua mencuba resepi memasak buah setul bercampur udang. Kali pertama dulu aku gunakan buah setul yang dah masak. Tapi kali ni aku gunakan buah setul yang masih agak muda tapi dah  nak mengkal hampir masak.

Suatu hari dulu seorang jiran menegur aku semasa aku sedang mengait buah setul kat depan rumah aku. Dia cakap tak cuba masak dengan udang ka? Ada orang dari Baling ke Sik ke tak ingat dah aku dia cakap masak buah setul ni dengan udang. Sedap katanya. Aku nak tanya dia masak lagu mana tu? Tapi aku urungkan niat aku tu sebab dia ni adalah seorang lelaki. Aku agak dia ni makan saja kot,  tentu tak tau nak jawap soalan aku dengan panjang lebar nanti.

Jadi aku buat masak lemak biasa sahajalah. Santan, bawang besar, bawang merah, bawang putih, lada besar dan garam. Aku bimbang lain2 rencah yang aku tak pasti tu akan mengganggu rasa asal buah setul dan udang. Udang pun aku tak kopek kulitnya. Kata ayah aku rasa manis udang akan kekal jika kulit udang tidak dibuang. Otak atas kepala udang tu aku bersihkanlah...Ok. Sedap. Sedap bila buah setul dimasak campur dengan udang..:)

Monday, December 26, 2011

Gulai batang pisang

Assalamualaikum semua,
Ini gambar gulai batang pisang yang aku masak pada hari Jumaat lepas. Cantik tak? He he.

Nampak jer benda ni kat atas meja, anak perempuan aku pun tanya, ni apa mak?
Ambuih, ini pun tak kenai ka?
Alhamdulillah. Syukur. Murahlah rezeki pada yang telah memanjangkan rezeki ini pada aku sekeluarga....:)

Apa pulak ni?
Inilah rempah kari basah yang aku beli kat pasar. Nak buat gulai batang pisang.
Penjual rempah India tu pesan, balik boh minyak saja. Kayu manis serai semua dia dah masukkan. Aha. Ini dah banyak bagus ni. Makin  senanglah kerja aku. Aku balik tumis sahaja. Masuk daging. Tambah santan.
Tunggu sampai dia masak.
Tapi dia pesan lagi tambah satu biji tomato sebab gulai daging tarak masuk asam, gulai ikan saja masak pakai asam.
Tang ni aku tak boleh terima. He he. Aku kena letak juga walau sikit asam keping  sebab baru akan terasa asam garamnya.
Seharian di hari itu kian semerbaklah suasana di dalam rumah aku dengan bau kari mamak. Amatlah menyelerakan...He he he. Ni kalau tanya kat anak aku yang lelaki tu mesti dia akan cakap, kalau mak perangat gulai ni yang setahun lepas pun, dia masih akan sanggup makan lagi .... ha ha ha..

Yang ni baru betul2 gambar gulai kawah batang pisang. Hehe. Yang ni nak dapat merasanya biasanya time orang kenduri saja. Siapa2 yang pernah merasanya tahulah sedapnya macamana kan.
Kawan aku cakap biasanya gulai ini orang buat cair2 saja. Masukkan kerisek dan campur dengan daging cincang. Best sangat rasanya..!!
Katanya batang pisang ni diambil dari anak pokok pisang yang masih muda belum berbuah. Biasanya pokok2 pisang hutan dari kawasan bukit. Banyak dan tak payah menanamnya.
Bukan batang pisang yang ada pelepah daun pisang tu. Tapi umbut pisang dari bahagian tengah batang pisang yang ada rambu2 bila dipotong. Ingat dulu masa kecik2 kami potong2 umbut ini dan main tarik2 macam menarik gerabak keretapi....

Sunday, December 4, 2011

Gulai ikan puyu rempah giling


Bahan2 giling
Cili kering, bawang besar, bawang merah, jintan manis, jintan putih, ketumbar(rempah biji), kunyit hidup.
Tumis
Bawang merah, bawang putih, daun kari


Ini lah dia ya puan2 semua, bahan2 asas yang selalu digunakan untuk dibuat rempah giling. Aku mula dijinak2kan mengggunakan batu giling sejak  ditingkatan tiga lagi. Lama sangat dah. Sebab tu waktu ambik gambar ni aku  terlupa nak letak kunyit hidup. Tambahkan juga sedikit jintan putih. (Gunakan sedikit sahaja jintan putih)
Sekarang ni tak ada dah orang Malaysia yang rajin gunakan batu giling! termasuklah dengan aku sekali.Tapi dah teringat nak makan gulai dari rempah yang digiling, bahan arkib ni kenalah digunakan semula. Jadi pada sesiapa yang nak merasa gulai rempah giling, silalah dapatkan batu gilingnya dahulu ya? Bukannya ketul2  batu kat tepi jalan tu ya, yang tu kalau untuk dibuat main batu seremban bolehlah..hehe.

Aku terjumpa cerita dari seorang blogger mamak restoran yang dikenali di Bukit Mertajam dan Seberang Perai tu cakap, yang depa duk juai rempah basah tu bukannya rempah giling, tapi rempah tu sebenarnya dibuat dari bancuhan rempah serbuk yang telah dimesin. Kata dia lagi kalau nak digiling rempah hari2, mau lekang lengan tu atau ia telah digiling oleh mesin bodoh! Berkenaan mesin bodoh tu aku tak tau nak mengulasnya ya, apa maknanya aku pun tak faham.... 
Aku duk buat sembang kencang kat sini pun, sebenarnya aku pun dapat free je batu giling ni. Aku tak beli pun! Ia adalah antara peralatan yang dilupuskan dari sebuah institusi teknik atas sebab dinaik taraf.  
Bila cili kering, ketumbar, jintan dan kunyit hampir lumat, barulah hentak2kan bawang gunakan anak batu penggiling.Jika diletakkan bawang bersama cili diperingkat awal menggiling, bawang akan sebabkan mata kita cepat berair. Aku ambik masa 5 minit untuk lumatkan cili kering jadi macam ni. Hu hu. Giling lagi hingga lumat kesemuanya.
Ini ikan puyu yang sudah siap sembelih. Tiap2 petang, berjenis ikan air tawar atau ikan sungai ada dijual kat pekan Simpang Kuala.
Tumiskan bawang, daun kari dan .. yang macam kacang parpu tu apa?...Lupa la pulak...! Bila bawang wangi, masukkan rempah giling. Tumis hingga wangi. Masukkan santan. Masak hingga mendidih. Jangan masakkan ikan puyu lama sangat sebab isi ikan ini lembut.
Dah siap gulai ikan puyu aku ni. Campur dengan ubi keledek.Jom.Mai2. Sila2. Mai la makan nasi bersama gulai ikan puyu rempah giling. Hehe. Anak aku yang pompuan tu duk risau mulanya sebab aku masukkan banyak sangat cili kering katanya. Dia tak tahan makan pedas. Tapi bila dah makan katanya tak rasa pedas langsung! Anak aku yang lelaki tu,  lepas dah lama sudah makan nasi,dia minta izin nak meratah ikan puyunya pulak.

Friday, October 7, 2011

Merenih telur ikan seludu

Dah lama aku nak masak serupa yang dimasak oleh si Eda kawan aku tu. Sejak dari dia tunjukkan gambar telur ikan mayung kat blog dia. Rasanya 2 minggu lepas aku masak telur ikan ini.
Kliklah resepinya kat sini. Aku ubaisuai sedikit gunakan buah belimbing buluh sebab tak ingat nak beli tomato. Tapi balik dari pasar memang aku buka blog Dari Dapur Mak long sebab nak tengok balik macamana cara dia masak telur ikan.

Penjual ikan tu cakap 100gm harganya RM6.00. Aku cuma beli 400gm sahaja.
Dia cakap yang tu telur ikan pelotan. Yang ni telur ikan seludu. Telur ikan seludu lagi sedap dari telur ikan pelotan katanya. Bila aku cakap nak telur ikan seludu, tangan dia masih duk cekup sauk ambik telur ikan pelotan untuk ditimbangnya. Lepas aku tegur pun dia masih duk ulang buat perkara yang sama lagi.Layan sajalah. Sebab aku tengok memang nampak serupa saja ketiga2 baris pinggan yang dia duk atur kat atas meja dia tu. Tak nampak macam datang dari ikan yang segar. Tapi dah tak ada orang lain yang jual telur ikan, ambik sajalah.

Ini pertamakali aku mengendalikan cara memasak telur ikan.
Rupanya kerandut telur ikan kena dibuang untuk mendapatkan telurnya sahaja. Ada pulak telur2 ikan yang sudah lembik berair dan mendatangkan bau yang sangat tidak enak. Itu pun kena dibuang. Sebab tulah aku aku campurkan masakan ini dengan asam belimbing buluh.

Tapi aku tengok anak aku yang sorang tu minat sangat dengan telur ikan ni. Aku tengok dia lepas duduk ke,berdiri ke, lepas tu dia tuju ke dapur. Tidur baring, lepas tu dia menuju lagi ke dapur. Hehe. Aku teringat satu hal. Teringat cerita dongeng si Pekan dengan telur Tembakul....


Nasi yang dimasak pada hari itu. Masak nasi dalam periuk tanah. Nampak mcam nasi dalam tempayan ja kan? Hehe.

Nilah periuk tanah yang buat nasi jadi nampak tambah sedap. Kata anak aku tu. Periuk tanah ni dibeli oleh menantu aku.

P/S : jika merenih telur ikan seperti di atas, eloklah sarung (kulit) yang membungkus telur ikan dibuang biar telur ikan berkeadaan sebiji-sebiji. Jika tidak, telur ikan tak mudah empuk. Kalau dimasak gulai boleh jadi ia tidak menimbulkan masaalah.
(9.10.2013) 

Tuesday, October 4, 2011

Masak munggai bersama udang

Bahan2
Buah munggai(kacang kelo), udang, sedikit serbuk gulai udang,
santan, bawang merah, kunyit hidup, garam dan sedikit ajinomoto.

Kikis buah munggai. Bersihkan dan potong. Didihkan serbuk gulai udang. Masukkan semua bahan dalam periuk. Masak hingga kacang lembut dan masak. Sebelum angkat masukkan garam dan ajinomoto.


Ini gambar kacang kelo atau buah munggai yang aku beli kat pasar Jumaat lepas. Aku nampak ianya ada tiga saiz yang berbeza. Aku tanya kat that guy buah munggai yang saiz kecik tu jenis lain ka, atau yang kecik tu untuk dibuat ulam ka. Aku buat2 ramah sebab tak pernah tengok buah yang berlainan saiz dijual bersama.
Budak lelaki tu cakap,
"Saya tak tau sangat bab2 masak ni kak ai, pokok dia tumbang, jadi saya kutip sekali semua buah yang dok ada..."
Ha ha. Akhirnya yang saiz kecik tu aku biar saja tersimpan dalam peti ais, bimbang nak campur sekali takut kot2 rosak terus gulai aku ni sebab tak tau apa rasa buah dia yang masih muda tu.

Nasib baik sedap pulak gulai buah munggai bersama udang aku ni. Dah lama tak makan gulai buah ni sebenarnya. Rasanya pucuk daun munggai ni pun boleh dibuat goreng.

Anak-anak aku tak pandai makan gulai buah munggai ni. Depa kata mak tak pernah masak pun. Hehe. Sebenarnya ada tapi dah lama sangat, waktu tu depa masih kecik sangat lagi, masih tak pandai makan sayur lagi kot. Zaman tu depa masih duk makan telur goreng kut.

Aku ni kalau sebut munggai selalu nak kena rileks dahulu kemudian baru dapat berfikir perlahan-lahan secara tenang. Bukan apa, sebutan sukukatanya mengelirukan sebab ianya akan berbaur dengan tiga makanan lain. Ianya terdiri dari buah belinggai, buah binjai dan buah belinjau.

Munggai, belinggai, binjai dan belinjau. Tu belum masuk lagi bila ada pulak orang tambah sebut lagi dengan perkataan  kacang kedelai... huhu.

by google

Ini buah belinggai. Kecik2 dulu aku selalu makanlah. Isinya yang belum cukup masak rasanya kelat. Nak dapatkan isinya kena hempaskan buahnya ke bahan keras seperti kayu atau simen.


by google

Yang ini buah binjai. Sedap sangat buah ni pada aku kalau dicampur bersama sambal belacan. Eeee... terliur sangat rasanya. Masih boleh dibeli sebab kadang2 masih dijual kat nat atau pekan sehari.

by google

Buah belinjau. Yang ni tak akrab sangat dengan aku. Pernah rasa gulainya diberi oleh kakak jiran belakang rumah dulu. Yang dah dibuat emping pun dah pernah rasa.

Sunday, August 21, 2011

Masak lemak daun peria pantai

Bahan2
Secekak daun peria pantai yang sudah direbus(celur sekejap hilangkan pahit)
Santan, kunyit, ikan bilis, serai, bawanag merah, bawang putih, garam, gula dan sedikit aji.

Tumbuk kunyit bersama sedikit garam. Tumbuk ikan bilis agak jangan hancur semua. Tumbuk bawang. Ketuk serai.
Masukkan semua bahan dalam periuk. Jerangkan atas api hingga masak.


Ini daun pokok peria pantai kat rumah aku. Lepas cantas dia makin malas nak biak sebab pokoknya berada di bawah teduhan pokok setul. Tak dapat cukup bekalan cahaya matahari agaknya.
Peria pantai dapat menstabilkan tekanan darah, membantu kawal diabetes dan menyembuhkan ulcer mulut.

Aku kenal pokok ini sejak selalu makan2 kat tempat kerja beberapa tahun lepas. Masa tu masing2 bawa sejenis atau lebih lauk untuk dimakan bersama ramai2. Nasi tanak dekat pantry. Lepas makan pakat2 buai perut yang dah kekenyangan. Tapi zaman gemilang tu dah berlalu.


Ini pokok beluntas. Dikatakan khasiat daun pokok ini ialah mengubati demam, menghilangkan bau badan, mengurangkan masalah keputihan dan haid tidak teratur.
Dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu.(urap)

Pokok bebuas, beluntas dan peria pantai ketiga2nya ada kat rumah aku. Itu yang buat aku selalu keliru. Aku tak pernah nak dapat bezakan yang mana satu pokok beluntas dan yang mana satu pokok bebuas. Tiap kali orang mai tanya, tiap kali juga aku fail nak bagitau kat depa.


Ini pokok bebuas. Macamana nak makan daun ni ada aku cerita kat sini. Buat ulam dan cicah dengan teluq ayam rebus dan ayaq asam.

Friday, August 12, 2011

Masak lemak kuning pucuk mengkudu dengan daging

Bahan2
Pucuk mengkudu yang dihiris dan direbus, daging salai yang dihiris nipis, santan, kunyit, halia, serai, bawang besar, cili besar, garam, gula dan sedikit aji.

Masukkan semua bahan dalam periuk. Jerangkan atas api hingga masak.

Aku dapat resepi ini dari seorang kawan aku sebab dah terjumpa dengan resepi ini tak ingat entah dari blog siapa, orang Terengganu. Bila tanya kat kawan aku tu, dia cakap memang tok dia dulu pernah juga buat masakan ni guna daging salai.
Tapi aku tak tau apa tu daging salai. Salai atas api ke atau salai kat cahaya matahari?

Jadi inilah kaedah yang aku gunakan untuk menyalai daging untuk masak lemak kuning pucuk mengkudu aku tu...

Ini pokok jambu bol. Asal lak ada photo ni kat sini? Hehe. Aku teringat pada sorang kakak jiran aku. Tiap kali bulan puasa, berselang hari dia mai kutip mana2 pucuk daun yang boleh dibuat nasi ulam kat rumah aku. Suami dia tu hari2 sepanjang bulan ramadan nak kena ada nasi ulam untuk berbuka puasa. Suatu hari dia kutip pucuk daun jambu ini kat rumah aku. Geram sangat katanya. Nampak coklat lawa lembut saja. Dia kata kalau dah buahnya boleh dimakan, tak kan pucuknya mabuk kot?
Haha. Hari tu nasib dia kurang baik. Dia kena marah. Suami dia tanya awat nasi ulam petang ni pahit berdengung tak leh nak makan. Kakak tu cakap macam besala. Dia boh daun mengkudu saja. Tu yang pahit kut...Haha. Sapa nak mengaku salah? Hehe...

Masak lemak putih pucuk mengkudu

Bahan2
Secekak pucuk mengkudu
Ikan bilis
Santan
Sedikit halia
Garam, gula dan sedikit aji

Masukkan santan dalam periuk. Tambah pucuk mengkudu yang sudah dihiris dan dicelur, masukkan juga ikan bilis. Jerang hingg masak. Bila hampir masak, masukkan gula, garam dan sedikit aji.

Ini adalah masakan asas orang dulu2. Sangat simple. Kuah dia warna putih jer. Aku teringat pada seorang kawan veteran aku. Dia cerita kalau pi makan nasi rumah orang tua dulu2, sedapnya rasa masakan depa. Dia cerita kawannya telah dihulurkan masakan kampong semasa melakukan satu aktiviti secara berkumpulan. Ini cerita atas ceritalah kiranya.
Kata kawan dia, kalau nengok ke periuknya, sompek aje.. Tak ada pun aksesori atau lain2 make-up seperti yang kita duk buat pada masakan dia tu. Tapi, tak padan dengan periuk hodohnya tu, bila makan isi dalam periuk dia tu boleh buat kita selalu teringat-ingatlah... Yang cenggini barulah selayaknya dipanggil potluck kan?

Kecik2 dulu tengok sayur ni pun aku dah rasa bosan. Agak menyeramkan sebab masa budak2 kecik dulu mana reti nak makan makanan yang pahit2 ni. Tapi orang2 canggih zaman teknologi lani dah produce macam2 makanan dan minuman yang berasaskan mengkudu.

Tuesday, July 26, 2011

Gulai daun juar dan sambal berempah daun juar



Gulai daun juar

Bahan2
Daun juar yang siap direbus
Santan, rempah kari, bawang merah, bawang putih, udang, garam, gula dan ajinomoto.

Tumis bawang yang dihiris. Masukkan rempah kari. Masukkan santan, udang dan daun juar yang sudah direbus hingga hilang pahitnya. Sebelum angkat masukkan garam, gula dan ajinomoto.



Sambal berempah daun juar

Bahan2
Daun juar yang di rebus.
Udang, garam gula, kerisik
~Cili kering, rempah biji (ketumbar), jintan manis dan sedikit jintan putih.~( Goreng dan kisar halus bahan2 ini. Kemudian tambah bawang merah, bawang besar, dan bawang putih.)

Tumis bahan kisar. Masukkan daun juar, udang, kerisik dan sedikit air. Masak lagi dan jika terlalu kering, tambah sedikit air. Masukkan garam, gula dan perisa.
~Masakan ini aku reka sendiri sebab pada masa ini tak ada bekalan santan dan rempah serbuk peket kat rumah. Jadi aku masukkan kerisik cukuplah sebagai ganti lemak.


Aku letak lagi gambar pucuk daun juar kat sini. Mula-mula aku cadang nak buang saja daun yang lebih semasa memasak daun ini pada kali pertama. Tapi rasa sayang pula. Dahlah susah untuk mendapatkan bekalannya. Walaupun rasanya pahit, tapi yang pahit ini buat aku selalu teringat-ingat.... :)

Jadi tiga kalilah aku buat pengkhususan memasak daun juar. Hehe. Sebelum ini aku buat pengkhususan pasal lauk pekasam.

Saturday, July 16, 2011

Masak lemak campuran

Bahan2
putik jagung, daun cekur manis
rebung segar, labu(direbus)
udang kering, Keledek(direbus)
santan segar, bawang besar/kecil//putih
cili besar/cili api, halia, garam, ajinomoto.

Tumbuk semua~ bawang besar/kecil/putih/, halia dan udang kering.
Masukkan bahan tumbuk dalam periuk tanah. Tambah labu, rebung, keledek, cekur manis, jagung muda. Tambah santan.
Masak selama 15-20 minit. Sebelum angkat masukkan sedikit garam.

Resepi ini dah lama aku simpan. Belum cuba masak sebab malas nak berkisah dengan bahannya yang pelbagai. Hari ni baru betul2 cari bahan dan masak. Ini pun belum lengkap sebab belum masukkan rebung.

Rasanya aku dapat resepi ini dari siaran tv di bulan ramadan yang entah bila. Dah boleh agak rasanya sebab bahannya nampak istimewa. Anak aku tanya mak boh gula ka? Mana ada eh. Bahan sayuran yang digunakaan memang selalu digunakan untuk buat sayur manis. Aku cuma masukkan sedikit garam dan ajinomoto. Mudahan senyum pun kian bertambah manis! hehe



Pokok asin2 kat rumah aku. Gambar pokok lepas hujan.



Tuesday, July 12, 2011

Gulai daun juar (johar)

Bahan2
Daun juar (juaQ a.k.a. juaK)
Udang
Santan, kerisik dan serbuk kari rempah daging.
Bawang merah, bawang putih, sedikit bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis untuk menumis.

Cara2nya
Rebus pucuk daun juar
Tumis bahan2 tumis hingga wangi dan masukkan serbuk rempah kari daging.
Masukkan santan. Masukkan udang. Masukkan daun juar.

Panduan penting untuk masakan ini ialah rebus daun ini 4-5 kali untuk kurangkan rasa pahit. Kalau direbus setakat dua kali menukar air, rasa pahitnya berdengung2 santak hingga ke otak!
Dulu pernah aku tengok ada daun ini dijual kat pasar. Mak cik yang menjual daun ni siap berpesan pada sapa2 yang nak beli daun ini supaya merebus daunnya banyak kali. Dia bimbang agaknya takut kena hamun. Hehe.

Agaknya ini lah resepi masakan dari blog aku yang paling pelik. Pelik level tertinggi. Jenuh aku cari kat google. Belum terjumpa lagi daun ini dimakan orang! Ada disebut namanya daun johar. Cassia siamea lamk. Digunakan dalam rawatan demam malaria. Orang India dan Sri Lanka makan sebagai sayuran.

Aku pernah makan sebab mak saudara aku rajin memasaknya. Rasanya orang lain kat kampung aku pun kurang berminat dengan daun ini untuk dijadikan makanan. Tempias dari masakan Siam kut. Nantilah kalau jumpa mak saudara aku tu aku akan tanya dari mana dia dapat makanan pelik2 serupa ini. Aku suka pada rasanya yang pahit2.

Ini gambar bunga juar sedang kembang aku dapat dari google, tumpang tepek kat sini.


Ini pucuk dan daun juar. Kuntum bunganya yang masih belum kembang dimasukkan sekali dalam masakan. Bunga yang kembang tak ada pula aku nampak mak sedara aku buat gulai. Hehe.

Ini cerita tambahan. Daun ini serupa dengan daun juar. Aku pun hampir keliru. Abang aku saja bawakan sekali daun ini sebagai perbandingan. Tapi daun ini agak tebal dan berbulu. Ini daun pokok kote. Ada juga pernah aku nampak pokok besar yang dijadikan hiasan kat tepi2 jalan nampak hampir serupa dengan pokok, bunga dan daun juar ini.

Ini gambar buah kote. Ehsan dari google.

Ni pun tambah juga lagi. Makcik tuan rumah pokok juar ni unjukkan buah ni. Kenai buah ni dak? Tanya dia. Manakan tak kenai. Budak2 kampung zaman dulu boleh kata makan segalanya. Aci tak mabuk depa tibai. Bukannya ada banyak sangat makanan pada masa itu !

Tuesday, July 5, 2011

Gulai Daging Daun Kaduk

Bahan2
600 gm daging dipotong dadu
1 biji kelapa (santan sederhana pekat)
8 ulas bawang merah*
1/2 inci kunyit*
4 hiris lengkuas*
6 biji cili kering*
Ketumbar 12 biji*
(Ditanda * =ditumbuk)
Kerisik kelapa (lebihkurang 3 sudu, digoreng dan ditumbuk hingga berminyak)
Daun kaduk
Asam keping

Cara2nya
Daging dicampurkan dengan bahan2 yang ditumbuk, kerisik kelapa dan panaskan selama 15 min dan kemudian dimasukkan sedikit santan pekat.
Masukkan kesemua santan dan kacau hingga mendidih. Jangan sampai pecah minyak.
Masukkan daun kaduk.
Sebelum angkat masukkan garam, asam keping, gula dan ajinomoto.

Nota: Aku rebus daging dengan sedikit air dahulu supaya daging cepat empuk.

Resepi ini dah lama aku peram dan dah lama teringin nak buat. Sedap rupanya.
Tapi yang menarik sebab gunakan daun kaduk. Daun dan batang kaduk punya khasiat yang tinggi.

Sekumpulan pelajar dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Jabatan Kimia Universiti Malaya telah menggunakan akar pokok kaduk sempena kaitan antara kaduk dan ulcer perut.

Satu ekor tikus diberi kaduk dan satu lagi diberi air suling. Kedua-dua ekor tikus itu kemudian diberi alkohol untuk menghasilkan ulcer.
Pembedahan mendapati tikus yang diberi minum pati kaduk berada dalam keadaan sihat. Manakala perut tikus yang diberi minum air suling, ia mendapat kesan luka ulcer yang agak teruk.
Ulcer perut adalah hasil tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat yang boleh bertukar menjadi barah.

Lepas buat gulai daging ini, baru aku terjumpa balik dengan artikel ini. Lain kali agaknya kalau guna daun kaduk eloklah masukkan dengan akar2nya sekali. >_<

Sunday, June 12, 2011

Masak tempoyak pucuk ubikayu


Pucuk kaduk selepas 3 kali diramas.


Pucuk ubikayu selepas 3 kali diramas.


Meriahnya pucuk kaduk tepi pagar aku ni...

Masak tempoyak pucuk ubikayu aku pernah makan sewaktu bersama menyewa dengan kawan-kawan di tepi cawangan anak sungai Pahang. Tak tahu macamana kawan aku budak Negeri Sembilan tu masak. Sedapnya terbayang sampai ke hari ni.

Bahan-bahannya
Pucuk ubikayu, pucuk kaduk, daun kunyit, bawang merah, bawang putih, serai, ikan bilis, cili api, kunyit hidup, santan, asam keping, tempoyak, garam dan ajinomoto.

Tumbuk cili api, kunyit dan bawang. Ikan bilis jangan hancur semua. Masukkan dalam periuk, tambah santan, serai, daun2 dan tempoyak. Jerangkan atas api. Sebelum angkat masukkan asam keping, garam dan aji.

Aku tak ingat ambik resepi ni dari blog sapa, tak dapat nak undo balik dah. Tapi yang best pada aku ialah teknik meramas pucuk ubikayu dan pucuk kaduk. Ramas daun yang sudah dihiris sebanyak 3 kali. Selepas diramas, bilas dengan air panas.

Bila mengunyah semasa memakannya, rasa cam rangup ja.
Tapi bila perangat gulai ni semula, rasanya kian lah mengancam! Huhu.